AM > BERITA

Labuan Perlu Tumpu Kekuatan Sendiri Untuk Pertumbuhan Mampan

17/01/2026 05:48 PM

LABUAN, 17 Jan (Bernama) -- Labuan tidak perlu bersaing secara langsung dengan negeri-negeri lain dari segi pembangunan ekonomi, sebaliknya perlu menumpukan kepada kekuatan uniknya sendiri untuk kekal kompetitif dan setara dengan negeri-negeri membangun lain, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Lo Su Fui.

Beliau berkata setiap negeri mempunyai kelebihan tersendiri dan Labuan perlu memanfaatkan sektor-sektor yang mempunyai asas kukuh, khususnya minyak dan gas (O&G) serta industri perkhidmatan kewangan antarabangsa.

“Labuan mempunyai kekuatan tersendiri, sama seperti negeri-negeri lain… kita harus menumpukan kepada kekuatan ini supaya Labuan dapat berdiri setara dengan negeri-negeri membangun lain,” katanya selepas penyampaian surat pelantikan kepada Majlis Penasihat LC di Wisma Perbadanan Labuan di sini hari ini.

Lo bagaimanapun berkata Labuan tidak perlu terlalu bergantung kepada sektor O&G, sambil menyatakan bahawa industri itu bersifat kitaran dan tertakluk kepada tempoh kemerosotan.

“O&G mempunyai turun naiknya… oleh itu, Labuan perlu melihat melangkaui sektor ini dan meneroka aktiviti ekonomi yang lebih mampan bagi memastikan pertumbuhan dan kestabilan jangka panjang,” katanya.

Selain itu, Lo berkata beliau telah diamanahkan untuk meneliti beberapa isu berlarutan yang menjejaskan pulau itu, termasuk gangguan bekalan air dan elektrik serta kos perjalanan yang tinggi dari dan ke Labuan.

“Ini antara isu yang terus membebankan rakyat… kami akan berusaha menyelesaikan isu-isu tertunggak ini,” katanya, sambil menambah kebimbangan itu akan ditangani melalui libat urus dengan agensi dan pihak berkepentingan yang berkaitan.

Lo berkata penambahbaikan infrastruktur asas dan kesalinghubungan adalah penting bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk Labuan serta menyokong pembangunan ekonomi keseluruhan wilayah itu.

Beliau mengadakan lawatan kerja sehari ke Labuan, menandakan lawatan rasmi pertamanya ke pulau itu sejak dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Sementara itu, lima ahli dilantik menganggotai Majlis Penasihat LC bagi tempoh 2025-2027.

Mereka ialah ahli perniagaan dalam industri maritim dan logistik Datuk Seri Patrick Tiong, Datuk Dr Ramli Tahir daripada Dewan Perniagaan Islam Labuan, Datuk Wong Kii Yii daripada Dewan Perniagaan Cina Labuan serta Seah Kiat Leong dan Haziq Ruslain daripada PKR.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan