AM > BERITA

Tiada Lokasi Alternatif Ternakan Babi Selain Bukit Tagar - Amirudin

17/01/2026 03:49 PM

SHAH ALAM, 17 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor masih belum mengenal pasti lokasi alternatif bagi menggantikan Bukit Tagar sebagai tapak baharu pemindahan ladang ternakan babi berpusat di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan negeri kekal terbuka dan memberi ruang kepada semua pihak untuk sebarang perbincangan bagi memastikan pelaksanaan sistem ternakan yang lebih teratur serta komprehensif.

“Setakat ini belum ada (lokasi alternatif) kami akan terus mengenal pasti dan menyemak semula lokasi lain sekiranya terdapat keperluan… kami akan memberikan laluan dan ruang perbincangan masih ada. 

“Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim telah memberikan beberapa penerangan berhubung sebab lokasi itu dipilih dan kerajaan negeri bersedia untuk mengadakan perbincangan atau memberi penjelasan lanjut berdasarkan data serta fakta,” katanya selepas menghadiri Majlis Adab dan Warisan Sendeng Nusantara (ADIWIRA) 2026 di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan 37 badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum bantahan berhubung rancangan pemindahan ladang berkenaan kepada kerajaan negeri di pekarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor petang semalam.

Amirudin berkata kerajaan negeri memahami kebimbangan masyarakat, namun ketika ini pihaknya menumpukan usaha untuk menutup kawasan penternakan yang tidak terurus dan membangunkan sistem baharu yang lebih komprehensif serta mesra alam bagi mengurangkan kesan bau, bunyi dan gangguan kepada penduduk sekitar.

“Sistem yang dicadangkan berkonsep sifar pelepasan dan kami akan melaksanakannya dengan segera kerana tidak boleh lagi membiarkan kawasan penempatan itu dibiarkan terbuka.

“Langkah ini juga selaras dengan titah Tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah) supaya kawasan berkenaan ditutup demi menjaga sungai dan alam sekitar,” katanya.

Pada Isnin lepas, Kerajaan Negeri Selangor memutuskan untuk mempercepatkan pemindahan ladang ternakan babi di Kuala Langat dan Sepang ke pusat ternakan moden di Bukit Tagar, Hulu Selangor selewat-lewatnya hujung tahun ini bagi menangani pelbagai isu pencemaran dan memastikan kelestarian alam sekitar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan