POLITIK > BERITA

RUMAH BANGSA : TIADA SYARAT KEMBALI, UMNO AMAL 'FORGIVE AND FORGET'

08/03/2026 06:43 PM

PONTIAN, 8 Mac (Bernama) -- Inisiatif Rumah Bangsa oleh UMNO tidak mengenakan sebarang syarat kerana ia berteraskan konsep “forgive and forget” (memaafkan dan melupakan) bagi memperkukuh perpaduan dalam parti serta perjuangan bangsa Melayu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata inisiatif tersebut merupakan idea murni sebagai wadah penyatuan bagi mengukuhkan perjuangan parti dan bangsa Melayu dalam UMNO.

“Kita tidak mengenakan apa-apa syarat. Tidak ada sesiapa perlu memohon maaf kepada sesiapa. Kita mahu forgive and forget. Kalau kita hendak ungkit, memang banyak perkara boleh diungkit, tetapi apabila kita terus mengungkit, akhirnya tiada siapa yang akan mahu kembali,” katanya kepada Bernama di sini, malam tadi. 

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Rumah Bangsa menjelaskan keputusan untuk kembali menyertai UMNO bergantung sepenuhnya kepada individu berkenaan memandangkan parti itu kini membuka pintu seluas-luasnya kepada bekas ahli yang dipecat, digantung atau telah meninggalkan perjuangan sebelum ini.

“Siapa yang mahu masuk, masuklah. Kalau tidak mahu, tidak mengapa. Kita sudah menyatakan bahawa pendekatan ini tanpa syarat seperti yang disebut oleh Presiden UMNO,” katanya.

Jumaat lepas, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat dan digantung keahlian untuk kembali ke parti itu tanpa syarat.

Ahmad turut mengimbau peristiwa pada 1996 apabila Parti Melayu Semangat 46 dibubarkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan semua ahlinya diterima masuk semula ke dalam UMNO secara en bloc (keseluruhan) tanpa syarat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian itu berkata inisiatif Rumah Bangsa selari dengan semangat Ramadan yang menekankan nilai kemaafan demi kepentingan perjuangan yang lebih besar.

“Barangkali mereka (bekas ahli)  juga sudah menyedari kesilapan masing-masing. Jadi duri yang dahulu tajam itu mungkin kini sudah tidak lagi berduri. Kita mahu melupakan segala yang lalu demi memperkukuh perjuangan parti,” katanya.

Di KUALA LUMPUR, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan inisiatif Rumah Bangsa sebagai satu kesedaran bahawa parti itu bukan sekadar pergerakan politik, sebaliknya benteng terpenting bagi kelangsungan bangsa Melayu.

Beliau berkata UMNO adalah ‘rumah besar’ yang didirikan untuk melindungi serta memajukan bangsa dan ia bukan milik sesiapa secara peribadi, tetapi sebaliknya rumah untuk seluruh bangsa Melayu.

Mohamed Khaled berkata sekiranya UMNO diganti dengan rumah lain, ia tidak akan setanding memandangkan hubungan parti itu dengan orang Melayu terlalu mendalam bagai air yang dicincang tidak akan putus.

“UMNO merupakan pelantar yang menghubungkan sebuah penjajahan dengan sebuah kemerdekaan. Ia mengangkat sebuah bangsa daripada kemiskinan kepada bangsa yang sejahtera serta memuliakan Islam sebagai sebuah agama berkemajuan.

“Dalam segala kebaikan dan kekurangannya, UMNO tetap menjadi benteng yang melindungi serta memelihara maruah bangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Semalam, bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan menyatakan hasrat untuk kembali menyertai parti itu melalui inisiatif Rumah Bangsa.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan