AM > BERITA

JAIS Siasat Aktiviti Senaman Aerobik Di Bukit Badong

18/01/2026 11:48 PM

SHAH ALAM, 18 Jan (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang menyiasat aktiviti senaman aerobik yang didakwa mengandungi beberapa elemen yang boleh dikaitkan dengan perlakuan tidak sopan di tempat awam, dipercayai berlaku di Bukit Badong, dekat sini.

Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata siasatan berkenaan dijalankan susulan penularan sebuah rakaman video menerusi aplikasi TikTok melibatkan aktiviti senaman aerobik terbabit.

Beliau berkata JAIS memandang serius perbuatan itu dan akan mengambil tindakan mengikut undang-undang.

“Hal ini kerana selain sangat tidak beradab, aktiviti itu mengandungi beberapa elemen yang boleh dikaitkan dengan perlakuan tidak sopan di tempat awam atau suatu perbuatan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina. 

“JAIS juga sedang menyiasat kejadian tersebut termasuk lokasi sebenar kejadian, penganjur program dan individu yang terlibat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Susulan itu, beliau memohon kerjasama daripada orang awam untuk tampil membantu siasatan atau menghubungi talian hotline JAIS 1800-88-2424. 

Terdahulu, tular tangkap layar gambar di aplikasi TikTok memaparkan beberapa wanita berpakaian tidak sopan didakwa melakukan aktiviti senaman.   

Sementara itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Selangor membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Azaharudin Tajudin menerusi kenyataan berkata terdahulu, pihaknya terkesan dengan gambar dan video berkaitan aktiviti itu yang dimuat naik dalam Facebook pada 11.13 pagi tadi.

“Dalam gambar tersebut didapati semasa program berlangsung, terdapat seorang individu bertudung dan berpakaian seragam sekolah, namun tidak memakai kain, manakala seorang lagi hanya memakai seluar legging. Hasil siasatan awal juga mendapati program senamrobik atau zumba itu bertemakan back to school,” katanya.

Susulan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian terbabit untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor melalui talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan