AM > BERITA

Sukan SEA 2027: Sarawak Cadang AirBorneo Rakan Penerbangan Rasmi 

19/01/2026 07:57 PM

KUCHING, 19 Jan (Bernama) -- Sarawak mencadangkan AirBorneo sebagai satu daripada rakan penerbangan rasmi untuk Sukan SEA 2027, yang menyaksikan negeri ini penganjur bersama.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata cadangan itu disampaikan secara peribadi semasa perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada tahun lepas, memandangkan Sarawak akan menjadi tuan rumah majlis perasmian.

“Perbincangan dengan Hannah Yeoh (yang ketika itu Menteri Belia dan Sukan). Saya secara peribadi telah memohon dua perkara. Satu ialah AirBorneo dipertimbangkan sebagai satu daripada syarikat penerbangan rasmi Sukan SEA dan TVS sebagai penyiar rasmi, selain RTM,” katanya.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat pengurusan tertinggi AirBorneo, yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin, di sini hari ini.

Beliau berkata dengan menjadi rakan penerbangan rasmi, AirBorneo dapat menyokong rangkaian perjalanan serantau bagi negara peserta di Asia Tenggara, sama ada melalui penerbangan berjadual atau sewaan khas, bergantung kepada kemampuan syarikat penerbangan pada masa itu.

Menjelang September 2027, Abdul Karim berharap AirBorneo sudah mempunyai pesawat jet, sekali gus membolehkan syarikat itu mengendalikan penerbangan sewaan khas ke 10 negara Asia Tenggara yang menyertai Sukan SEA.

Kerajaan Negeri Sarawak telah menunjukkan komitmen untuk menjadi tuan rumah, dengan memperuntukkan RM350 juta, iaitu separuh daripada kos penganjuran yang berjumlah RM700 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan