AM > BERITA

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Ketua Pengarah RTM Dilantik Wakil Dalam Lembaga MMM

19/01/2026 09:36 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Datuk Suhaimi Sulaiman dilantik sebagai wakil kerajaan dalam Lembaga Majlis Media Malaysia (MMM).

MMM dalam kenyataan memaklumkan, penamaan itu dibuat oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada 14 Jan lepas selari dengan peruntukan Seksyen 8(1)(b) Akta Majlis Media Malaysia 2025.

“Lembaga Majlis mengalu-alukan penamaan ini. Datuk Suhaimi mempunyai pengalaman yang meluas dalam bidang penyiaran dan kewartawanan dengan pengalaman memimpin dalam sektor media swasta dan awam.

“Datin Paduka Nur-ul Afida pula berpengalaman dalam menguruskan organisasi berita dan pentadbiran media pada peringkat kebangsaan dengan penglibatan meluas dalam ekosistem media arus perdana negara,” menurut kenyataan itu. 

Menurut MMM, penamaan dan pelantikan dua wakil kerajaan itu menjadikan 20 daripada 21 jawatan dalam Lembaga Majlis telah diisi, manakala jawatan Pengerusi Majlis belum diisi dan pencalonan bagi jawatan berkenaan masih terbuka.

Kenyataan itu turut memaklumkan, selain dua wakil kerajaan berkenaan, lembaga MMM juga dianggotai empat ahli, yang masing-masing mewakili syarikat media, pengamal media serta kepentingan awam termasuk golongan akademik dan masyarakat sivil. 

“Enam lagi ahli pula telah dilantik di bawah peruntukan Seksyen 8(1)(f) Akta untuk memastikan kesaksamaan gender, kawasan dan kepelbagaian media dari segi bahasa dan format,” menurut kenyataan itu. 

Ahli lembaga majlis itu telah dipilih pada November lepas dan akan berkhidmat bagi tempoh dua tahun, selain pihak majlis sedang menunggu dana peruntukan daripada kerajaan untuk membentuk sekretariat dan menjalankan fungsi serta mandatnya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan