JOHOR BAHRU, 19 Jan (Bernama) -- Persiapan bagi Majlis Penutup Program Jelajah Hari Wartawan Nasional Nasional (HAWANA) 2025 Bersama Siswa Peringkat Politeknik yang akan berlangsung di sini esok berjalan lancar.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata pasukan Bernama telah bergerak sejak awal pagi bagi menguruskan aspek teknikal dan raptai program.
“Pasukan Bernama berkumpul di PIS sejak pagi untuk membuat persiapan bagi program Jelajah HAWANA 2025 Bersama Siswa Peringkat Politeknik yang juga merupakan acara penutup sambutan HAWANA 2025.
“Berdasarkan persiapan dan raptai yang dijalankan, insya-Allah majlis ini akan mencapai matlamatnya, iaitu berkongsi pengetahuan berkaitan komunikasi dengan para pelajar politeknik,” katanya ketika ditemui di PIS, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Mohd Shukri Ishak, Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Sharifah Zaini Syed Zain, Ketua Perancangan Strategik Harlina Samson, Ketua Jabatan Komersil Mastura Hassan serta Ketua Strategi Korporat Mariati Mohd Arif.
Hadir sama Timbalan Pengarah Akademik PIS yang turut menjalankan tugas Pengarah PIS Tengku Nadzion Tengku Ibrahim.
Nur-ul Afida berkata majlis penutup itu pada asalnya dirancang diadakan pada Disember tahun lepas, namun ditangguhkan ke Januari berikutan kekangan jadual peperiksaan dan cuti semester pelajar. Beliau menjangkakan kira-kira 500 pelajar akan hadir, melibatkan empat politeknik dan dua kolej komuniti.
Beliau menambah, Bernama akan menyumbang televisyen pintar kepada setiap institusi sebagai tanda sokongan berterusan terhadap pendidikan, sejajar peranan agensi di bawah Kementerian Komunikasi.
Mengulas perancangan seterusnya, Nur-ul Afida berkata gerak kerja awal bagi sambutan HAWANA 2026 telah dimulakan dan program seumpama itu akan diteruskan ke politeknik serta Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lain.
“Dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) tahun ini, kita boleh membantu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk berkongsi maklumat berkaitan, selain memberi pendedahan kepada pelajar tentang bidang komunikasi dan prospek kerjaya dalam industri media,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial