JITRA, 19 Jan (Bernama) -- Identiti dua individu yang rentung di dalam kereta terbakar akibat kemalangan di Plaza Tol Jitra, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat sini awal pagi tadi dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Radzi Abdul Rahim berkata pemandu dikenali sebagai Pang Seng Chin, 20, dari Jalan Padang Telela Pauh, Arau, Perlis manakala penumpang Tan Hui Shan, 19, beralamat di Jalan Bukit Dumbar, Jelutong, Pulau Pinang.
Beliau berkata siasatan lanjut pihaknya mendapati Pang adalah seorang peniaga manakala Tan pula tidak bekerja.
“Bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah mendapati lelaki itu meninggal dunia disebabkan kecederaan pada bahagian dada manakala mangsa wanita maut akibat penyedutan asap kebakaran, selain kedua-duanya melecur teruk susulan kemalangan itu.
“Kedua-dua mangsa didapati maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Mohd Radzi berkata dalam kejadian pada 1.15 pagi tadi, kenderaan Honda Civic dinaiki mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar pembahagi lorong tol menyebabkan ia terbalik dan terbakar.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial