AM > BERITA

Anugerah Ikon Nanyang 2025 Iktiraf Kecemerlangan Usahawan Tempatan

20/01/2026 12:30 AM

PETALING JAYA, Jan 19 (Bernama) -- Anugerah Ikon Nanyang 2025 yang julung kali dianjurkan hari ini mengiktiraf 52 usahawan cemerlang yang memberi impak signifikan kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara.

Bertemakan “Mencipta Kecemerlangan, Menerajui Masa Depan”, anugerah itu diwujudkan bagi menghargai pencapaian cemerlang dalam kepimpinan perniagaan, inovasi dan digital, tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta kecemerlangan dan kekuatan jenama.

Pengasas dan Pengerusi Nanyang Icon Holdings Datuk Calvin Khiu berkata anugerah itu menjadi platform mengiktiraf bakat baharu dan usahawan berpotensi yang berani berinovasi serta membina perniagaan mampan.

“Kami berharap anugerah ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai usahawan tempatan untuk tampil membina keyakinan serta memperluaskan potensi mereka ke peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya kepada pemberita pada majlis Anugerah Ikon Nanyang 2025 di sini hari ini.

Turut hadir Presiden ASEAN Chambers of Commerce and Industry (ASEAN-CCI) Datuk Dr Sohaimi Shahadan dan Exco kerajaan Negeri Sembilan bagi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan J Arul Kumar.

Khiu berkata penganjuran kali pertama anugerah itu menyaksikan persaingan sengit dengan sebanyak 142 pencalonan diterima, namun hanya 52 individu berjaya mewakili syarikat masing-masing.

“Hari ini kita dapat melihat ramai pemuda dan usahawan muda menerima pengiktirafan. Persaingan memang kuat, namun ini membuktikan kualiti dan potensi besar yang dimiliki usahawan tempatan,” katanya. 

Mengulas kriteria penilaian, Calvin berkata syarikat dinilai berdasarkan prestasi kewangan termasuk laporan audit tiga tahun, pertumbuhan dan keuntungan, manakala prestasi yang merosot secara konsisten tidak layak dipertimbangkan.

Majlis anjuran Nanyang Icon Holdings dengan kerjasama media rasmi Nanyang Siang Pau itu turut bertujuan membuka peluang kepada usahawan dan syarikat tempatan meraih pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Anugerah Ikon Nanyang terbahagi kepada tiga kategori utama iaitu individu, kategori CSR dan inovasi jenama serta kategori tertinggi.

Antara pemenang bagi kategori Nanyang Legacy CSR Icon Honour ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank Berhad Tan Sri Dr Tay Ah Lek.

Bagi anugerah Personal Achievement – Outstanding Business Leader (Government Sector) disandang Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Datuk Suhaimi Sulaiman. 

Sementara itu, Nanyang Personal Excellence Award dianugerahkan kepada 10 usahawan termasuk wakil daripada syarikat Exgreat MSE Marketing (M) Sdn Bhd dan Nik Electronic Sdn Bhd.

Bagi kategori Nanyang Culture Icon, ia dimenangi Yap Ying Jun daripada Resonant Music Academy, manakala Nanyang Innovation Icon Award diberikan kepada Loh Zheng Tao daripada Bucket List and Vacations Sdn Bhd.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan