PASIR PUTEH, 20 Jan (Bernama) -- Setiap pagi di Jeram Mengaji bermula dengan deruan mesin pemerahan susu dan rutin penjagaan lembu yang teratur, menggambarkan kesungguhan sekumpulan anak muda tempatan memastikan bekalan susu segar terus sampai ke meja pengguna.
Di sebalik operasi itu, Ladang Tenusu SRZ Ternak Jeram Mengaji bukan sekadar pusat pengeluaran susu, malah menjadi simbol usaha berdisiplin dalam menjamin keselamatan makanan tempatan melalui pengurusan ladang yang tersusun serta pematuhan ketat terhadap standard kualiti.
Pengurus ladang berkenaan, Nik Syazwan Najmi Sukeri, 26, berkata operasi harian di ladang itu diurus secara berjadual, melibatkan pemakanan ternakan, pembersihan kandang, pemerahan susu serta pemantauan kesihatan lembu bagi memastikan pengeluaran yang konsisten.
Beliau berkata ladang itu kini menguruskan 58 ekor lembu tenusu di kawasan seluas kira-kira 16.19 hektar, dengan purata pengeluaran susu harian sekitar 70 kilogram bergantung kepada tahap kesihatan dan produktiviti ternakan.
“Penjagaan lembu tenusu memerlukan disiplin tinggi kerana haiwan ini mudah mengalami tekanan. Lembu perlu dimandikan dua kali sehari, diberi makanan mencukupi dan ditempatkan di kawasan selesa bagi mengekalkan kualiti serta kuantiti susu,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya, aspek kebersihan menjadi keutamaan, termasuk pembersihan kandang setiap hari, kawalan persekitaran serta pematuhan kepada standard kualiti yang ditetapkan pihak berkuasa melalui pemantauan berkala oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan sebelum susu diproses atau dipasarkan.
Nik Syazwan Najmi berkata susu segar yang dihasilkan digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk berasaskan tenusu seperti susu segar, dadih dan yogurt pelbagai perisa, selain dijual terus kepada pengguna termasuk menerusi platform dalam talian.
“Permintaan biasanya meningkat ketika musim cuti sekolah dan hujung minggu, menyebabkan pengeluaran perlu ditingkatkan bagi memenuhi keperluan pelanggan,” katanya.
Beliau berkata ladang itu turut dilengkapi kilang pemprosesan serta lima kiosk jualan produk tenusu, selain mini zoo yang menempatkan beberapa jenis haiwan seperti burung unta, kuda, rusa, kerbau, angsa dan itik telur sebagai tarikan pelancongan.
Mengulas cabaran operasi, beliau berkata kos makanan ternakan merupakan perbelanjaan terbesar, dengan penggunaan dedak mencecah beberapa beg sehari, menjadikan kos operasi bulanan melebihi RM10,000.
Bagaimanapun, beliau berkata faktor cuaca tidak banyak menjejaskan operasi kerana ladang terletak di kawasan tinggi, bebas banjir, serta mempunyai sumber rumput dan kawasan teduh mencukupi untuk ternakan.
Selain menyumbang kepada pengeluaran makanan tempatan, Nik Syazwan Najmi berkata ladang itu turut berperanan sebagai lokasi pembelajaran dan penyelidikan dengan penglibatan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Sultan Zainal Abidin.
Beliau turut mengakui peranan pekerja kandang tempatan menjadi tulang belakang kelangsungan operasi ladang tenusu berkenaan.
Sementara itu, pekerja ladang, Wan Muhammad Iman Wan Rosli, 19, berkata beliau telah berkhidmat selama tujuh tahun dengan tugas harian merangkumi penjagaan lembu dan kambing serta pengurusan kandang.
Beliau berkata rutin harian bermula dengan membawa lembu ke kandang pada pukul 10 pagi untuk dimandikan, diikuti proses pemerahan susu selama kira-kira sejam, kemudian membawa ternakan ke padang ragut pada pukul 12.30 tengah hari.
Menurutnya, walaupun berdepan kerja berat dan najis ternakan, beliau tidak kekok kerana mengenali setiap lembu dengan nama seperti Ruji, Betik, Wahab, Najwa, Aidil, Ipin dan Paidin, selain menerima upah secara mingguan.
Seorang lagi pekerja kandang, Muhammad Naim Al-Hafiz Mohd Razwan, 17, yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, berkata beliau telah membantu menjaga lembu sejak dua tahun lalu dan menganggap tugas itu sebahagian daripada kehidupan hariannya.
Beliau berkata tugasnya termasuk memberi makan ternakan, membersihkan kandang serta membantu mengurus lembu yang beranak, yang memerlukan kemahiran dan kesabaran tinggi.
“Setiap lembu ada perangai berbeza. Ada yang sensitif dan mudah terkejut. Jika tersalah langkah, boleh ditendang atau ditanduk, dan saya pernah mengalaminya,” katanya.
Anak keempat daripada lima beradik itu berkata walaupun pekerjaan berkenaan mencabar, beliau tidak malu kerana pengalaman tersebut memberi kemahiran, pendapatan serta membantu menyara keluarga.
Katanya, ladang tenusu itu bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, malah membentuk kemahiran generasi muda dalam bidang penternakan, sekali gus menyokong agenda keselamatan makanan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial