KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara dijangka dibentangkan sekurang-kurangnya untuk bacaan kali pertama pada sidang Parlimen kali ini sebagai langkah penting memperkukuh tadbir urus perubahan iklim dan menyokong komitmen pengurangan karbon Malaysia.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh berkata kementeriannya kini di peringkat akhir kajian Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan bagi membangunkan dasar yang inklusif berkaitan perdagangan karbon, seiring dengan penggubalan RUU berkenaan.
Beliau berkata dasar dan RUU itu memberikan mandat perundangan kepada kerajaan untuk mengawal selia pelepasan gas rumah hijau oleh fasiliti di dalam negara, selain memperkukuh instrumen pasaran dan tadbir urus selari dengan komitmen pengurangan karbon Malaysia selaras Artikel 6 Perjanjian Paris.
“Dengan adanya RUU dan dasar pasaran karbon ini, kerajaan akan mempunyai kuasa perundangan untuk mengawal selia aktiviti perdagangan karbon, termasuk aktiviti Internationally Transferred Mitigation Outcomes (ITMO), sekali gus menyumbang kepada sasaran mitigasi perubahan iklim negara.
“Dalam masa sama, RUU ini turut meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti melalui mekanisme pengukuran dan pelaporan pelepasan karbon yang secara langsung menyumbang kepada sasaran Sumbangan Ditentukan Negara (NDC),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Syed Ibrahim menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) berhubung status RUU itu selain potensinya dan dasar berkaitan karbon dapat menjadikan Malaysia muncul sebagai hab ekonomi hijau.
Mengulas potensi Malaysia sebagai hab perdagangan karbon serantau, beliau berkata RUU dan dasar itu turut membuka laluan kepada negara untuk muncul sebagai pusat perdagangan karbon bagi rantau ini, selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi hijau yang mampan.
Beliau berkata bagi memastikan pelaksanaan yang menyeluruh, kementerian telah mengadakan sekurang-kurangnya 13 sesi libat urus bersama kerajaan negeri, selain membuka ruang kepada maklum balas awam menerusi kertas konsultasi RUU yang dimuat naik di laman sesawang kementerian dari Oktober hingga Disember tahun lepas.
Pada masa sama, Syed Ibrahim berkata sesi libat urus bersama penggiat industri dan pertubuhan bukan kerajaan juga akan diadakan bagi mendapatkan maklum balas berhubung pelaksanaan pasaran karbon dan RUU itu.
“Pasaran karbon merupakan satu perkara yang baharu dan masih dalam penelitian, justeru usaha penerangan kepada industri dan rakyat akan dipertingkat supaya manfaat kepada negara dan rakyat dapat difahami dengan jelas,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial