AM > BERITA

Pelaksanaan "Smart Lane", Dasar Lori Lebih Muatan Antara Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

21/01/2026 08:29 AM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan smart lane, impak penguatkuasaan dasar lori lebih muatan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta status kedudukan Malaysia susulan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara perkara dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang rasmi Parlimen, Manndzri Nasib (BN-Tenggara) pada sesi soal jawab lisan meminta Menteri Kerja Raya menyatakan mekanisme pemantauan keselamatan, penguatkuasaan undang-undang serta penggunaan teknologi yang diguna pakai bagi memastikan pelaksanaan smart lane tidak meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.

Pada sesi sama, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) bertanyakan Menteri Pengangkutan mengenai impak sebenar penguatkuasaan serta-merta dasar lori lebih muatan oleh JPJ sejak Oktober 2025 ke atas rantaian bekalan, kos logistik dan kos sara hidup rakyat serta mengapa penguatkuasaan itu dilaksanakan tanpa tempoh peralihan yang munasabah.

Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) pula mengemukakan soalan kepada Menteri Pelaburan, Perladangan dan Industri berhubung kedudukan Malaysia dalam pelaksanaan dan komitmen terhadap ART jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara lain yang belum menandatangani atau meratifikasi perjanjian itu.

Hamzah juga ingin tahu mengenai justifikasi kerajaan meneruskan perjanjian berkenaan walaupun terdapat negara serantau yang memilih untuk tidak berbuat demikian.

Turut tersenarai, pertanyaan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung kriteria dan faktor yang diambil kira oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam menilai semula kelayakan dan memperketatkan pemberian bantuan kebajikan bulanan kepada penerima bantuan sedia ada.

Usai sesi soal jawab lisan, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan menyambung semula perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh Ahli Parlimen.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung 20 hari hingga 3 Mac.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan