EKONOMI > BERITA

MMC PORTS SASAR PENYATUAN DIGITAL, KETAHANAN OPERASI SEPANJANG 2026

21/01/2026 11:14 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) – MMC Ports Holdings Bhd, pengendali pelabuhan terbesar di Malaysia dan pengurus hab pemindahan kargo utama akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan naik taraf infrastruktur yang disasarkan serta program penambahbaikan peralatan pada 2026.

Inisiatif berkenaan di bawah Pelan Tindakan Digital selama lima tahun meliputi penilaian menyeluruh terhadap status quo infrastruktur, sistem, susun atur terminal, automasi dan pengurusan kitaran data merentasi semua syarikat operasi MMC Ports.

Ia menjadikan 2026 sebagai tahun strategik untuk penyatuan dan pemodenan.

Pelan tindakan ini dibangunkan susulan perjanjian kerjasama bersama NIZE Technology Co. Ltd iaitu cabang teknologi bagi Shanghai International Port Group (SIPG) pada Disember 2025.

Perjanjian berkenaan menyasarkan untuk membuat perubahan pelabuhan digital dan pintar secara menyeluruh yang akan menghasilkan asas digital yang seragam di seluruh operasi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MMC Ports Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata sasaran utama pelaksanaan naik taraf ini bagi memastikan semua terminal sama ada kontena mahupun konvensional selari dengan asas teknologi yang sama.

Katanya, ini bagi mewujudkan ekosistem yang lancar dan saling berhubung yang menyokong pembuatan keputusan berasaskan data untuk fasa pertumbuhan MMC Ports seterusnya.

"Penekanan terhadap kecekapan sistem secara keseluruhan kini sudah mula diterjemahkan kepada hasil operasi yang boleh diukur," katanya.

Beliau menambah, langkah ini dijangka mengukuhkan kecekapan dan ketahanan operasi yang amat penting bagi mengekalkan daya saing di tengah-tengah perubahan dinamik perdagangan global.

"Ini memastikan kami kekal sebagai hab logistik yang kompetitif dan digemari di rantau ini yang mampu menyerap perubahan arus dinamik perdagangan global," kata Azman Shah kepada Bernama.

Dalam persekitaran iaitu skala, kelajuan dan ketahanan semakin menentukan daya saing pelabuhan, MMC Ports sedang menyelaraskan sistemnya dengan model operasi yang diuji di megahub global, katanya.

Kerjasama yang terbentuk di antara MMC Ports dengan NIZE Technology menandakan penerimaan MMC Ports terhadap rangka kerja seni bina yang menyokong operasi SIPG iaitu syarikat apabila Shanghai Port mengendalikan 50.56 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) dalam 11 bulan pertama 2025, meningkat 6.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

SIPG yang mengendalikan semua terminal awam di pelabuhan Shanghai secara eksklusif merupakan pengendali pelabuhan terbesar di China dan antara pengendali pelabuhan yang tersenarai terbesar di dunia.

Yangshan Deep Water Port di Shanghai menjadi pemacu utama prestasi rekod tersebut dengan mengendalikan 26.25 juta TEU dalam 11 bulan pertama, meningkat 9.7 peratus berbanding tahun sebelumnya. 

Jumlah keseluruhan pengendalian itu dijangka melebihi 29 juta TEU, dipacu oleh pemodenan industri diterajui oleh teknologi dan automasi yang meningkatkan kecekapan serta kapasiti.

Skala operasi SIPG menyerlahkan persekitaran maju yang sedang dibangunkan oleh MMC Ports agar sejajar dengan amalan terbaik global dalam pengurusan pelabuhan.

Mengulas mengenai sinergi pelabuhan di bawah payung MMC, beliau berkata inisiatif seperti papan pemuka peringkat kumpulan dan teknologi berkembar digital (digital twin) disasarkan untuk memberikan keterlihatan holistik dan masa nyata merentasi keseluruhan portfolio.

"Secara keseluruhannya, peralatan ini membolehkan pasukan pengurusan membuat keputusan yang lebih cepat dan berinformasi berdasarkan pandangan operasi yang seragam dan menyeluruh.

"Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi terutamanya dalam perancangan limbungan dan penempatan peralatan merupakan perubahan besar yang sedang kami usahakan," kata Azman Shah.

Beliau menekankan apabila MMC Ports mengembangkan operasinya, penyeragaman metrik prestasi penting bagi memastikan piawaian perkhidmatan yang boleh dipercayai dan bertaraf dunia merentasi setiap titik sentuhan dalam rangkaian.

"Komitmen terhadap ketelusan dan disiplin operasi ini meletakkan MMC Ports bukan sahaja untuk menangani kerumitan pasaran tetapi juga untuk memberikan nilai jangka panjang yang berterusan kepada pemegang saham dan rakan kerjasama kami," kata Azman Shah.

Beliau berkata ini mencerminkan peningkatan harapan daripada pihak berkepentingan global dalam sektor infrastruktur.

Pada 2025, rangkaian MMC Ports mencapai prestasi terkukuh setakat ini dengan melepasi 20 juta TEU dalam jumlah kontena yang diproses.

Pencapaian berkenaan dipacu oleh Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP) yang melepasi 13 juta dan 14 juta TEU, menjadikannya pelabuhan tunggal pertama di Malaysia yang mencapainya.

Ini diikuti oleh Northport (Malaysia) Bhd yang mencatatkan jumlah pemprosesan kontena tahunan tertinggi sebanyak 3.80 juta TEU serta pemprosesan kargo konvensional tertinggi sebanyak 12.90 juta tan berat muatan.

Selain daripada dua hab kontena utama, Johor Port Bhd mencatatkan jumlah kontena tahunan tertinggi iaitu sebanyak 1.08 juta TEU manakala Penang Port Sdn Bhd menyaksikan jumlah penumpang feri meningkat kepada 3.13 juta pada 2025 daripada 2.87 juta pada 2024.

Sementara itu, Tanjung Bruas Port Sdn Bhd mencatatkan pemprosesan kontena tertinggi iaitu sebanyak 31,032 TEU sejak memperkenalkan pengendalian kontena pada 2019.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan