AM > BERITA

KPE INSKEN Dinobatkan Penerima Anugerah Public Social Innovator 2026 Schwab Foundation

21/01/2026 05:34 PM

CYBERJAYA, 21 Jan (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara Bhd (INSKEN) Viviantie Sarjuni dinobatkan sebagai penerima Anugerah Public Social Innovator 2026 oleh Schwab Foundation semasa Persidangan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Switzerland baru-baru ini.

INSKEN dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengiktirafan berprestij itu diberikan atas kepimpinan berwawasan Viviantie dalam memperkasa keusahawanan, perusahaan sosial serta pembangunan ekonomi mampan di Malaysia.

Sebagai penerima anugerah, Viviantie akan menyertai komuniti global Schwab Foundation, dengan ahli komuniti diintegrasikan ke dalam mesyuarat dan inisiatif WEF, selain terlibat secara aktif dalam pertukaran sejawat bersama pemimpin perubahan sosial dan alam sekitar, serta berinteraksi dengan pemimpin tertinggi daripada sektor perniagaan, kerajaan, komuniti awam dan media bagi tempoh tiga tahun.

“Peluang global ini membolehkan INSKEN membawa pulang pandangan antarabangsa serta amalan terbaik ke Malaysia, sekali gus memperkukuh sokongan kepada perusahaan mikro, luar bandar dan sosial, di samping memupuk kerjasama rentas sempadan antara sektor awam, swasta dan akademik,” menurut kenyataan itu.

Anugerah Public Social Innovator mengiktiraf individu yang mencetuskan perubahan luar biasa dalam sektor awam, termasuk penggubal undang-undang, pembuat dasar, ketua agensi kerajaan serta pemimpin organisasi antarabangsa yang memanfaatkan inovasi sosial bagi menghasilkan impak transformatif.

Sejak 1998, Schwab Foundation telah menyokong lebih 500 inovator sosial berimpak tinggi dari lebih 190 negara di seluruh dunia.

Sementara itu, Viviantie menerusi kenyataan sama berkata menjadi rakyat Malaysia pertama yang menerima anugerah tersebut merupakan satu penghormatan besar, bukan sahaja kepada beliau secara peribadi, malah kepada usaha berterusan INSKEN dalam menyokong perusahaan mikro, luar bandar dan sosial.

Menurut Viviantie, pengikitirafan itu turut membawa tanggungjawab untuk bertindak sebagai penghubung dalam menyatukan komuniti, sektor swasta, akademia dan kerajaan bagi mewujudkan impak yang bermakna dan inklusif.

Beliau berkata pengiktirafan berkenaan juga membuka akses kepada rangkaian dan pandangan global yang boleh disesuaikan oleh INSKEN di peringkat tempatan bagi memperkukuh inovasi sosial, membentuk dasar serta membantu usahawan Malaysia berkembang secara mampan melalui kerjasama semua pihak berkepentingan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan