SUKAN > BERITA

GILBERTO SILVA IMBAU KENANGAN PIALA DUNIA 2002 DAN PERANAN MALAYSIA

21/01/2026 07:16 PM

PETALING JAYA, 21 Jan (Bernama) -- Bekas pemain antarabangsa Brazil, Gilberto Silva menyifatkan Piala Dunia 2002 kekal sebagai kenangan paling bermakna sepanjang kerjayanya ketika beliau terlibat dalam Jelajah Trofi Piala Dunia FIFA yang melibatkan 75 lokasi, termasuk Malaysia, hari ini.

Silva, antara tonggak Brazil yang menjulang Piala Dunia 2002 di Korea-Jepun berkata kejohanan itu menjadi titik permulaan kepada karier bola sepaknya di peringkat tertinggi.

Bekas pemain tengah Arsenal itu yang turut beraksi dalam dua edisi Piala Dunia lain berkata masa dan peluang memainkan peranan utama dalam kejayaannya.

“Edisi 2002 yang terlintas di minda dahulu, kerana di situlah segala-galanya bermula bagi saya. Saya tidak mungkin dapat berada sebegini dekat dengan trofi Piala Dunia seperti sekarang tanpa 2002, kerana saya turut beraksi dalam dua edisi lain, tetapi kami tewas.

“Saya tiba pada masa yang tepat. Itulah yang dimaksudkan dengan kehidupan. Anda perlu merebut peluang dan saya telah merebutnya. Pasukan Brazil juga mengambil peluang itu ketika kami berada di sana,” katanya kepada pemberita semasa sesi beramah mesra sempena jelajah trofi itu di sini hari ini.

Silva juga mengimbas kembali bagaimana Malaysia menjadi tempat istimewa dalam perjalanan Brazil ke Piala Dunia 2002 apabila menjadi lokasi persiapan terakhir di sini sebelum menuju ke kejohanan tersebut.

“Malaysia ada bahagian yang sangat istimewa dalam kisah ini kerana kami berhenti di sini untuk persiapan terakhir. Ia bagus untuk menyesuaikan diri dengan zon waktu dan kami juga menerima sambutan yang sangat mesra daripada semua orang,” katanya.

Beliau berkata kepulangan ke Malaysia membawa kembali kenangan dan emosi yang kuat.

Brazil menentang Malaysia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Mei 2002, sebagai sebahagian daripada persiapan terakhir untuk edisi 2002 dalam perlawanan yang menyaksikan Selecao menampilkan skuad bintang seperti Ronaldo, Rivaldo, Ronaldinho dan Cafu.

Di hadapan puluhan ribu penonton, Harimau Malaya memberikan tentangan yang bersemangat tetapi akhirnya akur tewas 0-4 kepada juara dunia itu.

Peminat bola sepak hadir untuk melihat dengan lebih dekat trofi berprestij itu di Sunway Pyramid di sini hari ini, yang telah dirasmikan oleh Silva bersama legenda bola sepak Datuk Santokh Singh dan penyanyi terkenal MK atau nama sebenar Muhammad Hairi Hamdan.

Terdahulu, trofi yang dikawal ketat oleh pasukan anggota keselamatan termasuk wakil FIFA, tiba di Malaysia sebagai sebahagian daripada jelajah globalnya yang meliputi 75 perhentian, dengan majlis rasmi diadakan di Pusat Penerbangan Serantau Skypark di Shah Alam.

Ketibaan trofi yang turut dimeriahkan dengan persembahan tarian tradisional tempatan, disambut oleh Presiden Unit Operasi ASEAN dan Pasifik Selatan Syarikat Coca-Cola, Selman Careaga dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Dr Nagulendran Kangayatkarasu.

Ini menandakan kali pertama trofi itu kembali ke Malaysia sejak 2014. Trofi itu dijangka meneruskan siri jelajahnya ke Korea Selatan dan Jepun.

Piala Dunia FIFA 2026, yang akan menampilkan 48 pasukan buat kali pertama, dijadual berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada dari 11 Jun hingga 19 Julai.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan