AM > BERITA

RPN 2026-2035 Berupaya Perkasa Mutu Pendidikan, Modal Insan Di Sabah Dan Sarawak

21/01/2026 06:46 PM

Oleh Fadzli Ramli dan Rozlin Rusharmeen Rosmin

KOTA KINABALU, 21 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 dilihat amat relevan dan berupaya meningkatkan mutu pendidikan serta memperkasa pembangunan modal insan di Sabah dan Sarawak.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib berkata penstrukturan semula sistem pendidikan kebangsaan itu adalah langkah wajar yang dinanti-nantikan bagi melonjakkan prestasi pelajar di negeri itu.

Beliau juga menyifatkan pembaharuan yang digariskan dalam pelan strategik itu bertepatan dengan keperluan semasa untuk melahirkan generasi muda yang lebih berdaya saing.

“Bagi saya, memang di Sabah ini amat sesuai dengan pelaksanaan RPN dan perubahan struktur baharu tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan RPN 2026-2035, sebuah pelan strategik reformasi pendidikan nasional yang dipimpin bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertujuan membina sistem pendidikan yang lebih adil dan berteraskan nilai.

Ketika melancarkan RPN 2026-2035 di Putrajaya, Anwar menyatakan lonjakan besar menerusi rancangan itu diharap menyedarkan semua pihak untuk berikhtiar melakukan perubahan yang lebih baik, khususnya dalam membentuk nilai, jati diri dan kemanusiaan pelajar.

Mengulas mengenai langkah kerajaan memberi pilihan kepada ibu bapa bagi kemasukan ke tahun satu pada usia enam tahun mulai 2027, beliau berkata perubahan itu selari dengan tahap intelektual kanak-kanak masa kini yang semakin cepat berkembang.

“Kanak-kanak sekarang ini sudah bijak, kadang-kadang pada umur lima tahun sudah pandai membaca, jadi amat sesuai umur enam tahun sudah masuk tahun satu,” katanya.

Sementara itu, di KUCHING, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah ketika mengulas mengenai kemasukan ke tahun satu pada usia enam tahun berkata kesiapsiagaan sekolah perlu diberi keutamaan bagi memastikan peralihan daripada pendidikan prasekolah ke tahun satu tidak memberi tekanan kepada kanak-kanak.

“Bila di prasekolah mereka hanya bergaul dengan kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun, jadi keadaan boleh menjadi mencabar bila masuk ke alam persekolahan sekiranya mereka belum bersedia dari sudut interaksi sosial dan kognitif.

“Guru yang menerima kanak-kanak berusia enam tahun di tahun satu juga harus menerima bukan sahaja anak-anak tetapi juga melihat fail semasa murid itu di prasekolah sebagai rujukan awal berkaitan perkembangan kanak-kanak ini,” katanya dalam sidang media Mesyuarat Lembaga Pengarah Sedidik di sini hari ini.

Dalam pada itu, Fatimah berkata perubahan dasar berkenaan turut memberi implikasi kepada pengusaha tadika dan taska di Sarawak apabila kanak-kanak berumur enam tahun diberi pilihan untuk tidak lagi berada dalam sistem prasekolah mulai 2027.

Beliau berkata keadaan itu memerlukan penyesuaian semula kurikulum, kaedah pengajaran dan struktur perkhidmatan prasekolah yang kini hanya melibatkan kanak-kanak berumur empat dan lima tahun.

“Isu ini akan dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Majlis Pembangunan Awal Kanak-kanak Sarawak yang dijadualkan pada 24 Feb ini, melibatkan wakil persatuan tadika, guru prasekolah, pengusaha taska dan pengasuh berdaftar,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai pengumuman pendidikan percuma kepada 3,000 orang kurang upaya (OKU) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) politeknik dan kolej komuniti, Fatimah menyifatkan langkah itu sebagai satu keputusan yang wajar.

Beliau berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan Persekutuan dalam memastikan akses pendidikan yang lebih inklusif serta manifestasi sebuah kerajaan yang prihatin terhadap golongan berkeperluan khas.

“Memberikan insentif seperti pengecualian yuran ini dapat meringankan beban dan menggalakkan lebih ramai individu berkeperluan khas melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi,” katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan