AM > BERITA

AIROD Ulangi Kesediaan, Sokongan Padu Kepada Dasar Industri Pertahanan Negara

21/01/2026 08:42 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- AIROD Sdn Bhd (AIROD) mengulangi komitmen padu serta kesediaan untuk menyokong Kerajaan Malaysia bagi mencapai objektif Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang dilancarkan hari ini.

Syarikat itu, yang merupakan organisasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat pertama di Malaysia, menyasarkan untuk memperkukuh matlamat negara dalam membina industri pertahanan tempatan yang kendiri, berdaya tahan dan lestari.

Ketua Pegawai Eksekutif AIROD Mejar Jeneral (B) Datuk Ibrahim Bahari berkata syarikat itu bersedia untuk menyokong platform penerbangan pertahanan sedia ada dan akan datang di bawah program pemodenan oleh kerajaan.

“Sejajar dengan pelancaran DIPN, AIROD mengulangi bahawa kami bersedia sepenuhnya untuk menyokong keperluan penerbangan pertahanan kerajaan sekarang dan pada masa hadapan.

“Pelaburan berterusan dalam infrastruktur, peralatan, pensijilan, pendigitalan dan pembangunan tenaga kerja memastikan AIROD mampu menyesuaikan diri, platform-agnostic (tidak terikat platform tertentu) dan memenuhi keperluan masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DIPN dilancarkan hari ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menandakan langkah baharu ke arah memperkukuh keselamatan negara, memulihkan keyakinan terhadap sektor pertahanan dan membangunkan industri tempatan yang lebih dipercayai serta berteraskan integriti.

Ibrahim berkata dengan pengalaman lebih lima dekad menyokong Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pengendali antarabangsa, AIROD memainkan peranan penting dalam memastikan ketersediaan pesawat dan kesiapsiagaan operasi.

Selaras dengan DIPN, syarikat itu dijangka menyumbang kepada beberapa bidang utama, termasuk meningkatkan kedaulatan negara dengan mengurangkan kebergantungan kepada sokongan luar melalui keupayaan kejuruteraan kritikal di dalam negara.

Selain itu, AIROD berhasrat memanfaatkan kepakaran sedia ada dalam kejuruteraan aeroangkasa, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) untuk memacu inovasi teknologi dalam sektor pertahanan tempatan.

“Melangkaui sempadan negara, AIROD mempunyai rekod antarabangsa yang terbukti, telah menyediakan perkhidmatan MRO kepada angkatan udara asing termasuk Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF), Kor Marin Amerika Syarikat, Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU), Tentera Udara Filipina serta pengendali di seluruh Afrika,” menurut kenyataan itu.

Ditubuhkan pada 1976 dan beribu pejabat di Subang, AIROD terus menjadi tunjang industri aeroangkasa Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan MRO menyeluruh bagi memenuhi keperluan ketenteraan negara dan antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan