SHAH ALAM, 21 Jan (Bernama) -- Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyifatkan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 selari dengan dengan aspirasi dan hala tuju strategik universiti itu, khususnya dalam memperluas akses pendidikan berkualiti, memupuk bakat berkemahiran tinggi serta memastikan tiada pelajar tercicir daripada arus pendidikan tinggi.
Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata antara inisiatif utama RPTM yang signifikan kepada UiTM adalah jaminan tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kepada pelajar cemerlang dengan PNGK 4.0, pendidikan percuma untuk pelajar orang kurang upaya (OKU), serta pendidikan percuma dan bantuan pembiayaan kepada pelajar daripada keluarga miskin tegar.
“Langkah ini diyakini dapat memperkukuh prinsip kesaksamaan pendidikan dan mobiliti sosial, selaras dengan peranan UiTM sebagai institusi yang memperjuangkan agenda pembangunan bumiputera secara inklusif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrin Sahib berkata UiTM turut menyokong penuh penambahan 3,000 tempat IPTA pada tahun ini, termasuk dalam bidang strategik seperti undang-undang, perakaunan, kewangan, kecerdasan buatan (AI), data sains, komunikasi dan pengajian media, yang dilihat seiring dengan keperluan pasaran kerja masa hadapan dan agenda ekonomi berasaskan pengetahuan.
Beliau berkata penekanan terhadap pemerkasaan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), digitalisasi serta penerapan AI di Politeknik dan Kolej Komuniti juga dilihat sebagai langkah penting dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan relevan dengan landskap industri global.
“UiTM komited untuk terus memainkan peranan strategik sebagai rakan pelaksana dasar negara, memastikan agenda RPTM 2026–2035 dapat direalisasikan secara berkesan demi melahirkan graduan sejajar dengan prinsip ‘karamah insaniah’ yang diungkapkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
RPTM 2026-2035 yang dilancarkan Perdana Menteri semalam menggariskan hala tuju baharu pendidikan tinggi negara yang berteraskan nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan kemampanan bagi melahirkan insan berilmu, beretika serta berdaya saing pada peringkat global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial