AM > BERITA

IKM Besut Bina Stesen Pengecas EV Pertama

22/01/2026 12:45 PM

JERTIH, 22 Jan (Bernama) -- Institut Kemahiran MARA (IKM) Besut melangkah ke hadapan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan memfokuskan teknologi hijau melalui pembinaan sebuah stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) pertama di pusat pengajian TVET MARA di negeri ini.

Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Terengganu Mohd Farris Radzuan berkata meskipun stesen yang menyediakan satu unit pengecas EV itu dibina di dalam kawasan IKM Besut, stesen itu juga boleh dimanfaatkan oleh semua pemilik EV di daerah berkenaan.

Beliau berkata selain tujuan pembelajaran dan kegunaan pengguna, stesen pengecas EV yang pertama di Besut itu juga dapat memudahkan pengunjung dari luar daerah yang melakukan perjalanan jarak jauh untuk singgah mengecas kenderaan mereka.

“Pemilik EV boleh mengecas dengan memuat turun kod respons pantas (QR) yang terdapat di stesen pengecas dan bayaran dibuat secara dalam talian,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Stesen Pengecas EV IKM Besut di sini, yang turut dihadiri Pengarah IKM Besut Ir Abdul Athar Ibrahim.

Mohd Farris berkata pusat pengecas berkenaan juga akan mengukuhkan aspirasi IKM Besut untuk menjadi institusi rujukan dalam teknologi baharu termasuk EV, elektrifikasi dan teknologi tenaga lestari. 

Beliau berkata sebagai pelengkap kepada stesen pengecas itu, IKM Besut turut menerima dua unit EV baharu jenama BYD Atto 3 dan Proton e.MAS 5 di bawah peruntukan Program Rasionalisasi TVET Zon Timur oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Kedua-dua kenderaan itu katanya, akan dimanfaatkan oleh pelajar yang menjalani latihan amali di bawah program Diploma Teknologi Automotif IKM Besut dalam Sistem EV.

“Dalam program pengajian ini, terdapat modul pembelajaran berkaitan kenderaan hibrid dan EV, malah program ini juga bakal mempunyai Pusat EV apabila bangunan baharu di institut tersebut siap pada akhir 2027," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan