AM > BERITA

KPDN Kaji Semula Garis Panduan, Pinda Akta e-Dagang Untuk Lindungi PMKS Tempatan

22/01/2026 05:20 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengkaji semula garis panduan penglibatan syarikat asing dalam sektor pengedaran perdagangan serta memuktamadkan pindaan Akta Perdagangan Elektronik 2006 bagi memastikan persaingan lebih adil kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Dr Fuziah Salleh berkata KPDN mengakui wujud kelompongan dalam garis panduan sedia ada yang dibangunkan pada 2020, berikutan kemasukan pesat jenama makanan dan minuman (F&B) dari luar negara yang berkonsepkan kedai pengkhususan.

“Kita dapati kebanyakan jenama F&B asing masuk secara pesat pada 2024. Jadi, kita perlu menambah baik dan meneliti semula garis panduan yang dibangunkan pada 2020 itu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai langkah-langkah yang telah, sedang dan akan diambil untuk mengawal keagresifan jenama F&B asing di negara ini serta platform e-dagang yang menetapkan harga sangat kompetitif sehingga mengancam kelangsungan perniagaan PMKS tempatan.

Berhubung isu e-dagang, Fuziah berkata pindaan terhadap Akta Perdagangan Elektronik 2006 atau penggubalan undang-undang baharu dijangka dibentangkan dalam persidangan Parlimen akan datang.

“Kesimpulannya, perlu ada keseimbangan untuk membangunkan daya saing PMKS supaya persaingan berlaku secara adil. KPDN juga perlu bekerjasama dengan agensi lain, bukan sekadar melindungi industri secara pasif tetapi membangunkan industri tempatan agar lebih berdaya saing.

“Pasaran tidak ditutup, sebaliknya persaingan digalakkan untuk menjaga kepentingan pengguna. Insya-Allah, kita akan memastikan keseimbangan ini dan menjadikan ekosistem perdagangan lebih adil,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan