AM > BERITA

2,771 Guru Dapat Manfaat Daripada Program Pengurusan Kewangan FINCO

22/01/2026 07:52 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Program Latihan Jurulatih (TTT): Pengurusan Kewangan Peribadi yang diperkenalkan oleh Financial Industry Collective Outreach (FINCO) berjaya melatih 2,771 guru dari 12 negeri sejak ia dilancarkan pada Ogos tahun lepas. 

Dalam kenyataan hari ini, FINCO memaklumkan program yang dilaksanakan dengan kerjasama Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) itu menyaksikan peningkatan dari segi keupayaan peserta dalam memahami dan mengaplikasikan pengetahuan kewangan, iaitu daripada 59 peratus sebelum latihan kepada 75 peratus. 

Pengerusi FINCO Tan Sri Azman Hashim berkata sokongan daripada industri kewangan dan FEN amat penting dalam mencapai sasaran program itu, selain menegaskan komitmen FINCO untuk menyumbang dengan lebih bermakna kepada agenda nasional dalam mengukuhkan literasi dan daya tahan kewangan rakyat negara ini.  

“Menerusi program TTT ini, kita dapat menyaksikan peningkatan ketara khususnya dari segi kesejahteraan kewangan dan keyakinan dalam kalangan guru untuk menyampaikan pengetahuan mengenai pelaburan kepada murid, memandangkan guru adalah saluran utama dalam perkongsian pengetahuan,” katanya dalam kenyataan itu.

FINCO turut memaklumkan dua anugerah baharu telah diperkenalkan pada  Anugerah Tahunan FINCO 2025 yang diadakan baru-baru ini, sebagai meraikan pancapaian program TTT serta mengiktiraf para pendidik dan pelajar yang dedikasi.

Anugerah baharu itu ialah Ikon Pelatih Cemerlang, diberikan kepada enam pelatih dari Port Dickson yang menunjukkan pencapaian luar biasa termasuk peningkatan 49 peratus keyakinan peserta dalam menyampaikan pengetahuan mengenai literasi kewangan dan 99 peratus kadar kepuasan. 

Selain itu, Anugerah Penjaga Cemerlang yang diberikan kepada Stalin Juan Thomas dari Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak atas bimbingan dan komitmen beliau dalam mengetuai pasukan pelatih. 

Pasukan Bags & Books dari Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, Selangor, pula muncul juara pertandingan Dragron Den Good SENS (Jaringan Perusahaan Sosial bagi Sekolah) Kebangsaan 2025, sekali gus meraih gelaran Perusahaan Sosial Keseluruhan Terbaik 2025, pada anugerah tahunan itu. 

Perusahaan sosial mereka berjaya mengitar semula 122 kilogram (kg) kain rentang dan 85 kg seluar jeans lama untuk dijadikan 1,000 beg dan menjana pendapatan lebih RM4,400. Mereka mengupah komuniti setempat bagi membantu menjahit beg, selain menderma buku bernilai RM850 kepada murid yang memerlukan dan merancang menggunakan RM2,210 daripada keuntungan bagi meneruskan perniagaan tersebut. 

Sementara itu, Pasukan M.E.I Enterprise daripada SK Taginambur, Sabah meraih naib juara menerusi “kios kejujuran”, iaitu perniagaan atas dasar percaya yang membolehkan mereka menjual makanan ringan dan alat tulis yang tidak terdapat di sekolah tanpa perlu pekerja menjaga gerai. 

Sementara itu, Ketua Pengawai Eksekutif FINCO Clare Walker berkata menyaksikan murid sekolah rendah mampu membina perniagaan sebenar dan mengangkat aspek kebajikan sosial, membuktikan inisiatif oleh FINCO itu membantu pelajar memahami prinsip kewangan pada usia muda, yang merupakan kemahiran asas penting dalam kehidupan.

Good SENS merupakan program literasi kewangan utama FINCO, yang dibangunkan bagi menangani tahap literasi kewangan yang masih rendah dalam kalangan golongan muda di Malaysia. 

Pada 2025, program itu telah melatih lebih 430 pelajar dan 84 guru serta menyaksikan 62 perniagaan sosial berjaya dibangunkan oleh pelajar di seluruh Malaysia, dengan menjana lebih RM50,000. Guru juga dilatih bagi membantu pelajar sepanjang tempoh enam bulan program tersebut. 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan