AM > BERITA

Hotel Di Pulau Pinang Patuh Amalan Terbaik Industri, Tiada Aduan Serius - MAH

23/01/2026 12:55 PM

Oleh Erma Idayu Mohd Yusop

GEORGE TOWN, 23 Jan (Bernama) -- Hotel di Pulau Pinang, khususnya yang bertaraf lima bintang sentiasa mematuhi amalan terbaik industri dan menjalankan semakan berkala terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan kualiti perkhidmatan berada pada tahap tertinggi.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang Datuk Tony Goh yang memberikan jaminan itu berkata setakat ini tiada aduan serius diterima melibatkan isu kekurangan perkhidmatan di hotel lima bintang di negeri ini, malah rekod menunjukkan tahap pematuhan yang baik dalam kalangan pengusaha hotel.

“Apa yang kita maklum, hotel lima bintang di Pulau Pinang berada dalam kategori sangat memuaskan dan tidak pernah berdepan isu besar berkaitan perkhidmatan, malah hotel-hotel bertaraf antarabangsa di sini sangat berhati-hati dalam memastikan mutu perkhidmatan mereka sentiasa cemerlang.

"Hotel lain (bukan bertaraf lima bintang) juga memberikan perkhidmatan yang terbaik kerana memang menjadi amalan hotel agar memastikan pelancong dalam atau luar negara berpuas hati. Hotel berkenaan juga membawa nama Malaysia," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau mengulas gesaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang semua hotel di Malaysia, khususnya hotel dalam kategori empat dan lima bintang supaya konsisten mematuhi amalan terbaik industri bagi melindungi reputasi negara sebagai destinasi pelancongan terkemuka.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing pada Sabtu lepas, berkata hotel perlu melangkaui kemudahan dan penarafan bintang dengan memperkukuh budaya perkhidmatan, akauntabiliti pengurusan serta piawaian operasi bagi memenuhi jangkaan pengembara masa kini yang semakin meningkat.

Mengulas lanjut, Goh berkata pihak persatuan juga telah meminta semua pengusaha hotel supaya mempertingkatkan latihan kepada pekerja, selari dengan keperluan industri dan jangkaan pelancong, termasuk dari segi layanan pelanggan, kebersihan serta kecekapan operasi.

Beliau berkata pemeriksaan dan pemantauan turut dijalankan secara ketat dengan kerjasama pihak berkuasa termasuk MOTAC khususnya terhadap hotel lima bintang.

"Ia meliputi aspek perkhidmatan, keselamatan, kebersihan dan tahap kebersihan bagi memastikan semua hotel mematuhi standard yang ditetapkan, khususnya pada Tahun Melawat Malaysia 2026 ini,” katanya.

Beliau yakin industri perhotelan di Pulau Pinang dijangka terus berkembang dengan pembukaan lebih banyak hotel baharu tahun ini, terutama bagi segmen hotel bertaraf empat dan lima bintang. 

Ketika ini, secara keseluruhan terdapat 111 hotel di negeri ini, termasuk lebih 20 bertaraf lima bintang yang berdaftar dengan Persatuan Hotel Pulau Pinang, melibatkan lebih 7,500 bilik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan