BUTTERWORTH, 25 Jan (Bernama) -- Keikhlasan seorang jururawat menyuapkan makanan kepada pesakit warga emas berbangsa India yang tular menerusi media sosial baru-baru ini, membuktikan bahawa ihsan dan kemanusiaan mengatasi perbezaan agama serta kepercayaan.
Sikap terpuji jururawat itu, Nur Deena Nadzhiefa mendapat perhatian Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang memberikan pengiktirafan kepadanya ketika mengadakan kunjungan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) sempena majlis perasmian bangunan baharu hospital itu, semalam.
Dzulkefly berkata video berkenaan benar-benar menjentik perasaan dan mendorong beliau untuk bertemu sendiri dengan jururawat itu.
“Anugerah yang saya sampaikan ini kecil nilainya berbanding nilai ihsan yang Deena tunjukkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata sikap Nur Deena membuktikan penyembuhan di hospital bukan sahaja bergantung kepada pil atau suntikan, tetapi juga lahir daripada layanan penuh empati dan kasih sayang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Nur Deena kerana menghidupkan semangat ‘Malaysia’ dalam tugas seharian dan berharap nilai-nilai murni yang ditonjolkan itu dapat menjadi inspirasi dan contoh kepada seluruh warga kesihatan.
Baru-baru ini, tular menerusi media sosial rakaman momen seorang jururawat menyuap makanan menggunakan tangan kepada seorang pesakit berbangsa India di sebuah hospital.
Rakaman berdurasi 41 saat itu meruntun jiwa ramai dengan warganet memuji sikap jururawat tersebut dan menyatakan rasa terharu dengan keikhlasan dan empatinya dalam mengurus pesakit meskipun berbeza agama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial