AM > BERITA

Kebakaran Tanah Gambut Di Punggai Merebak, Asap Tebal Selubungi Kawasan Perumahan

26/01/2026 03:59 PM

KOTA TINGGI, 26 Jan (Bernama) --  Kebakaran tanah gambut di Punggai di sini merebak daripada 5.26 hektar kepada 12.14 hektar susulan cuaca kering dan berangin, sekali gus membawa asap tebal ke kawasan perumahan Taman Bayu Damai, Pengerang, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai Pegawai Bomba Tinggi II Ezam Mistorerrodin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11 pagi sebelum sebuah jentera dengan kekuatan 12 anggota dari BBP Punggai serta tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) digegaskan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata unit dron dari Zon 2 telah menjalankan penilaian tahap perebakan, sumber air serta laluan masuk bagi pemadaman di sektor A dan B.

“Bagaimanapun, pemadaman tidak dapat dilaksanakan di sektor A berikutan punca air yang jauh serta sumber air terbuka yang terhad, selain kesemua anggota tertumpu di sektor B kerana angin yang agak kuat dan perebakan yang lebih aktif di kawasan itu.

“Pasukan Keluaran Operasi kemudian bertindak melakukan pemadaman di sektor B menggunakan satu aliran hos sepanjang 500 kaki, satu breaching, dua pancutan nozel pam jentera dan sumber air daripada pili bomba,” katanya dalam kenyataan. 

Bagaimanapun beliau berkata tiupan angin dari arah utara yang berterusan menyebabkan muncul nyalaan baharu di beberapa kawasan, selain asap tebal yang merebak ke kawasan perumahan.

Ezam berkata setakat ini hanya 2.02 hektar berjaya dipadamkan iaitu kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan kawasan yang terbakar.

Operasi pemadaman masih giat dijalankan.

Pada 18 Jan lepas, bomba melaporkan berlaku kebakaran di kawasan berhampiran lokasi kejadian membabitkan kebun seluas kira-kira 2.83 hektar di Jalan Punggai–Taman Bayu Damai di sini.

Keadaan cuaca panas serta berangin mengakibatkan api marak serta menyukarkan operasi pemadaman yang mengambil masa empat hari. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan