AM > BERITA

KLWC, Challenge Malaysia 2026 Bekerjasama Promosi Pelancongan Sukan, Gaya Hidup Aktif

27/01/2026 08:14 AM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- KL Wellness City (KLWC) mengumumkan kerjasama dengan Challenge Malaysia 2026, sebuah acara triatlon antarabangsa yang bertujuan memperkukuh sektor pelancongan sukan Malaysia serta mempromosikan gaya hidup aktif.

Pelancaran Challenge Malaysia 2026 disempurnakan oleh Pengerusi Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy bersama Pengarah Eksekutif KLWC Datuk Seri Dr Vincent Tiew, Pengarah Challenge Malaysia Yeang Lim Hooi Yen, ahli-ahli KLWC serta rakan industri.

Tiew berkata kerjasama dengan Challenge Malaysia adalah signifikan kerana kedua-dua inisiatif itu berkongsi nilai kukuh yang sama terhadap komitmen dan kemampanan jangka panjang di Malaysia.

“Challenge Malaysia baru tahun ketiga penganjurannya, namun di peringkat global ia telah bertapak beberapa dekad di 27 negara. Dalam hal ini, kami melihat Challenge Malaysia sebagai acara antarabangsa yang semakin berkembang di negara ini, sama seperti KL Wellness City yang merupakan perbandaran kesejahteraan bertaraf antarabangsa yang sedang berkembang,” katanya pada sidang media acara itu di sini semalam.

Beliau berkata ekosistem KLWC mengutamakan kesihatan mental, kesejahteraan fizikal dan penjagaan holistik, sekali gus menjadikan kerjasama dengan acara pelbagai sukan berasaskan endurance atau daya ketahanan itu amat relevan.

“Perlumbaan endurance bukanlah pecutan singkat. Ia berkaitan ketekunan, disiplin dan kemampanan jangka panjang. Membina sebuah perbandaran kesejahteraan seluas 26.5 ekar (10 hektar) memerlukan tahap ketahanan, strategi dan komitmen yang sama seperti sebuah triatlon, justeru kerjasama ini sangat bertepatan dengan visi kami untuk mengintegrasikan kesejahteraan melangkaui kemudahan penjagaan kesihatan,” katanya.

Menambah signifikan pelancaran berkenaan, Tiew berkata beliau akan menyertai ketiga-tiga acara Challenge pada tahun ini, iaitu Challenge Taiwan pada April, Challenge Roth di Jerman (Julai) dan Challenge Malaysia (18 Okt), manakala lima atlet lain turut akan bersamanya menyertai Challenge Taiwan.

Mengenai pelancongan perubatan, Tiew berkata Malaysia menyaksikan peningkatan pesakit antarabangsa, khususnya pada Januari tahun ini, didorong faktor serantau seperti isu kestabilan di Thailand dan Myanmar yang mendorong pesakit dari Kemboja dan Myanmar mendapatkan rawatan di hospital swasta di negara ini.

Beliau turut menyentuh peningkatan pelancong perubatan dari Singapura, dengan menyatakan pengukuhan dolar Singapura sebagai antara faktor yang menggalakkan lebih ramai rakyat negara itu mendapatkan perkhidmatan kesihatan di Kuala Lumpur, Melaka, Pulau Pinang dan Johor.

Sementara itu, Pengarah Perlumbaan Challenge Malaysia Aldrian Yeo berkata Malaysia terus mendapat perhatian sebagai destinasi pilihan bagi penganjuran acara triatlon antarabangsa.

“Challenge Malaysia 2026 akan sekali lagi diadakan di Forest City, Johor. Acara ini menawarkan laluan yang indah dengan lokasi berdekatan pantai dan laut bagi acara renang, jalan raya selamat sesuai untuk kayuhan jarak jauh, serta pelbagai pilihan penginapan daripada bajet hingga lima bintang bagi memenuhi keperluan semua peserta.

“Kami juga mendapat sokongan padu daripada kerajaan negeri, majlis bandaraya (MBJB) dan PDRM, selain lokasinya mudah diakses. Berhampiran Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai memudahkan atlet antarabangsa,” katanya sambil menambah acara tahun ini menyasarkan 800 peserta tempatan dan antarabangsa, berbanding 550 atlet yang menyertainya tahun lepas.

Selain itu, Yeo berkata Challenge tahun ini akan memperkenalkan perlumbaan baharu, iaitu kategori jarak Olimpik, selain kategori sedia ada, pecut dan jarak sederhana.

“Jadi tahun ini kami memperkenalkan satu format baharu, iaitu kategori Olimpik yang merangkumi 1.5 kilometer (km) renang, 40 km berbasikal dan 10 km larian. Kategori jarak sederhana pula meliputi 1.9 km renang, 90 km berbasikal dan 21 km larian manakala kategori pecut merangkumi 750 meter renang, 20 km berbasikal dan 5 km larian,” katanya.

Acara itu juga menampilkan triatlon kanak-kanak, yang merangkumi 1.5 km renang, 40 km berbasikal dan 10 km larian untuk kanak-kanak berusia tujuh hingga 15 tahun, menjadikannya sesuai untuk atlet dari semua peringkat umur dan kemampuan.

Seorang atlet tajaan KLWC, Kyo Ikuyo, 48, berkata penyertaannya dalam acara triatlon telah membantunya menguruskan tekanan serta meningkatkan kesejahteraan mental.

“Selepas kembali ke Malaysia pada 2018, saya menghadapi masalah kemurungan dan tidak mempunyai rakan atau sokongan untuk membantu saya mengatasinya. Jadi, saya mula berlari dan bermandi peluh untuk melepaskan tekanan.

“Bagi sesiapa yang menghadapi masalah yang sama seperti saya, saya amat menggalakkan anda untuk menyertai acara ini. Anda tidak perlu menjadi atlet untuk mengambil bahagian, anda boleh bermula langkah demi langkah dan dengan disiplin serta konsistensi, anda pasti boleh sampai ke garisan penamat,” kata Kyo kepada Bernama.

Seorang lagi atlet tajaan, Tan Hui Jin, 33, berkata matlamat utamanya tahun ini adalah untuk memecahkan rekod peribadinya dalam triatlon jarak penuh.

“Persediaan untuk Challenge Taiwan memerlukan disiplin yang tinggi. Saya perlu mengimbangi kerja sambil berlatih setiap hari, terutamanya pada hujung minggu, tetapi matlamat utama saya adalah untuk mengatasi rekod peribadi dan menamatkan perlumbaan dalam masa kurang daripada 12 jam,” katanya.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan