AM > BERITA

Galeri Arkeologi Guar Kepah Tarikan Pelancongan Baharu Di Pulau Pinang

27/01/2026 03:17 PM

KEPALA BATAS, 27 Jan (Bernama) -- Galeri Arkeologi Guar Kepah, di sini dijangka menjadi antara tarikan pelancongan baharu yang signifikan di wilayah utara tanah air, sekali gus memperkukuh potensi pelancongan berteraskan arkeologi di Pulau Pinang.

Pembangunan galeri itu juga dijangka menghubungkan rantaian pelancongan prasejarah di utara Semenanjung, merangkumi Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Lembah Lenggong di Perak, Galeri Arkeologi Guar Kepah di Pulau Pinang serta Sungai Batu di Kedah.

Galeri berkenaan akan mempamerkan Penang Woman, iaitu rangka Neolitik lengkap pertama yang ditemukan di Malaysia, selain turut mempamerkan tulang-tulang rangka yang sebelum ini disimpan di Belanda selepas berjaya dibawa pulang hasil kerjasama erat Jabatan Warisan Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Luar bersama-sama pihak berkuasa Belanda.

Bagi Presiden Persatuan Pemandu Pelancong Pulau Pinang Clement Liang, pelancongan berteraskan arkeologi bukan asing di luar negara dan pihaknya menjangkakan Galeri Arkeologi Guar Kepah itu akan membuka lembaran baharu pelancongan prasejarah di Malaysia, terutama di negeri ini.

Beliau berkata usaha menjadikan galeri itu sebagai produk pelancongan arkeologi dilihat mampu menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa, khususnya pengkaji sejarah, pelajar serta penggemar warisan budaya. 

"Pendekatan pelancongan berasaskan ilmu termasuk pelancongan arkeologi itu selari dengan trend pelancongan lestari yang semakin mendapat perhatian … pengalaman pelancongan bukan sekadar bersifat rekreasi, tetapi turut memberikan nilai tambah dari segi pengetahuan.

"Galeri itu juga bakal menawarkan pengalaman sejarah dan budaya yang lebih mendalam kepada pengunjung, selain merancakkan lagi sektor pelancongan negeri dan wilayah utara," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Liang berkata sebanyak 60 pemandu pelancong berlesen telah mengikuti kursus dan latihan khas yang dikendalikan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) bagi meningkatkan kefahaman berkaitan sejarah, penemuan arkeologi serta kaedah penyampaian maklumat kepada pengunjung pada tahun lepas.

Beliau berkata latihan yang diberikan oleh pakar arkeologi di USM amat penting bagi memastikan pemandu pelancong dapat menyampaikan maklumat yang tepat, berfakta dan menarik kepada pengunjung, sekali gus meningkatkan kualiti pengalaman pelancongan di Galeri Arkeologi Guar Kepah.

"Saya dimaklumkan bahawa latihan itu akan diteruskan pada tahun ini dan sebenarnya inilah masanya kita bawa pelancong, terutama pelancong asing untuk mengenali arkeologi di negara kita, setakat ini pengunjung dari beberapa negara seperti Jepun dan Eropah berminat dengan pelancongan arkeologi di sini," katanya dan menambah persatuan berkenaan mempunyai 700 ahli setakat ini.

Beliau berkata kerajaan negeri turut menyediakan risalah tentang Galeri Arkeologi Guar Kepah dalam pelbagai bahasa untuk diedarkan kepada pelancong asing yang tiba di negeri ini, dan dalam masa sama, pihaknya turut mempromosikan tarikan itu secara dalam talian. 

Galeri itu katanya, akan memberikan pengalaman baharu kepada pelancong asing, khususnya ke kawasan Seberang Perai dan bukan tertumpu di George Town atau kawasan pulau sahaja.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai berkata kerajaan negeri bekerjasama dengan pemandu pelancong dan persatuan pelancongan di Pulau Pinang untuk mempromosikan Galeri Arkeologi Guar Kepah kepada kumpulan sasaran seperti pengunjung domestik membabitkan pelajar sekolah dan universiti serta pelancong antarabangsa yang berminat tentang sejarah dan arkeologi. 

“Galeri ini dibuka setiap hari kecuali cuti umum dari 8 pagi hingga 5 petang, dengan bayaran masuk RM10 bagi dewasa tempatan dan RM20 untuk dewasa asing,” katanya sambil memaklumkan pas tahunan RM100 turut ditawarkan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan