AM > BERITA

Lindung 24/7 Perkeso Dilaksana Menjelang Pertengahan Tahun Ini - Ramanan

27/01/2026 05:02 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Skim Lindung 24/7 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dijangka dilaksanakan menjelang pertengahan tahun ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan. 

Beliau berkata pihaknya perlu mengambil langkah yang cermat sebelum melaksanakan mana-mana inisiatif. 

“Kita kena pastikan skim itu selaras dengan program lain. Jadi, buat masa ini memang sedang dalam perancangan, tahun ini pasti akan dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas sesi makan tengah hari bersama media di sini, hari ini. 

Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, Pengerusi Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj dan Ketua Bernama TV Nor Hamzeela Md Hambali.

Persidangan Dewan Rakyat pada awal Dis lepas meluluskan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 yang antara lain memperkenalkan Skim Lindung 24/7, bertujuan memberi perlindungan menyeluruh kepada pekerja sepanjang masa termasuk di luar waktu bekerja.

Perkeso sebelum ini menyatakan menerusi Lindung 24/7, pekerja akan menikmati jaringan keselamatan sosial secara menyeluruh, termasuk bagi kes kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja, berbeza dengan skim terdahulu yang hanya melibatkan insiden berkaitan pekerjaan.

Pekerja yang layak akan menerima pelbagai faedah termasuk Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Elaun Layanan Sentiasa (ELS), Faedah Pengurusan Mayat (FPM), Faedah Pemulihan dan Faedah Pendidikan.

Sementara itu, Perkeso menerusi kenyataan memaklumkan sepanjang tahun lepas sebanyak 150,599 daripada 208,599 pencari kerja berjaya memperoleh pekerjaan menerusi 3,715 karnival kerjaya dan sesi temu duga anjuran agensi itu yang melibatkan hampir 24,000 majikan seluruh negara.

Perkeso memaklumkan, pendekatan rehabilitasi turut menunjukkan impak memberangsangkan apabila lebih 80 peratus atau 4,817 daripada 5,887 pesakit berjaya diintegrasi semula ke dalam masyarakat dan kembali bekerja.

“Pembukaan Pusat Rehabilitasi Perkeso di Ipoh yang dijangka dilancarkan tahun ini, serta perancangan pembinaan hospital dan pusat rehabilitasi di Terengganu dan Pulau Pinang, akan melengkapkan ekosistem perlindungan sosial memandangkan kapasiti di pusat sedia ada di Melaka dan Ipoh kini telah menjangkau antara 90 hingga 95 peratus,” menurut kenyataan itu.

Pada tahun ini, Perkeso turut mahu memberi tumpuan kepada pindaan Akta 800, pewartaan Akta Pekerja Gig 2025 yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta pekerja, serta kajian kebolehlaksanaan Skim Pengembara bagi membantu hampir 400,000 rakyat Malaysia yang bekerja ulang-alik ke Singapura.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan