AM > BERITA

Pendapatan Minimum Pekerja Gig Ditentukan Melalui Perundingan Berstruktur - KESUMA

27/01/2026 07:13 PM

PUTRAJAYA, 27 Jan (Bernama) -- Penentuan pendapatan minimum pekerja gig dilaksanakan melalui proses perundingan berstruktur di bawah kerangka Akta Pekerja Gig 2025, menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Dalam kenyataan hari ini, KESUMA memaklumkan kerangka itu diwujudkan kerana sifat pekerjaan gig adalah berbeza daripada pekerjaan konvensional dan memerlukan pendekatan yang lebih sesuai dengan struktur serta model operasi ekosistem platform. 

Sehubungan itu, menurut  KESUMA Akta Pekerja Gig 2025 memperuntukkan penubuhan Majlis Perundingan Gig (MPG) sebagai mekanisme institusi untuk membincangkan dan mencadangkan perkara berkaitan kadar pendapatan minimum pekerja gig.

"Kadar gaji minimum RM1,700 yang dinyatakan oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan adalah sebagai rujukan kepada dasar gaji minimum negara yang sedang berkuat kuasa," menurut kenyataan itu. 

Kenyataan itu bagi menjelaskan perkara yang dibangkitkan oleh Gerakan Badan Bertindak Sahabat E-Hailing Malaysia berhubung ucapan Menteri Sumber Manusia pada 26 Jan lepas, khususnya berkaitan rujukan kadar gaji minimum serta mekanisme penentuan pendapatan pekerja gig melalui Majlis Perundingan Gig (MPG) agar tidak berlaku salah faham. 

Menurut KESUMA, MPG merupakan platform tiga pihak antara wakil kerajaan, wakil pekerja gig dan wakil entiti kontrak, selain Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) turut terdiri daripada anggota lain yang merupakan individu berpengetahuan dalam pasaran kerja dan ekosistem ekonomi gig.

"Majlis ini berfungsi menjalankan kajian, menganalisis data pasaran, meneliti amalan terbaik termasuk di peringkat antarabangsa serta membincangkan formula kadar pendapatan minimum secara menyeluruh sebelum mengemukakan syor kepada kerajaan," menurut kenyataan itu.

KESUMA memaklumkan pendekatan itu memastikan sebarang kadar yang dicadangkan adalah berasaskan data sebenar, mengambil kira variasi sektor dan lokasi serta adil kepada pekerja gig di samping mampan untuk keseluruhan ekosistem. 

"Penegasan Menteri Sumber Manusia bahawa sesuatu pendekatan perlu diperhalusi adalah selaras dengan keperluan untuk memastikan isu pendapatan minimum pekerja gig dibincangkan melalui mekanisme MPG supaya keputusan yang dicapai bersifat menyeluruh, seimbang dan berasaskan fakta.

“Ruang perundingan melalui MPG kekal terbuka dan merupakan saluran rasmi yang diwujudkan oleh undang-undang untuk tujuan tersebut," menurut kenyataan itu.

Menurut KESUMA, penggubalan Akta Pekerja Gig 2025 itu membuktikan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh perlindungan pekerja gig, menyediakan saluran perundingan yang tersusun serta memastikan isu pendapatan ditentukan secara institusi dan berasaskan bukti.  

"KESUMA akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan kesejahteraan pekerja gig dipertingkatkan melalui mekanisme yang telah diwujudkan dan menyeru agar MPG diberi ruang untuk melaksanakan fungsinya demi mencapai penyelesaian yang adil dan mampan untuk ekosistem pekerja gig negara," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan