AM > BERITA

Teknologi CubeSats Untuk Pemantauan Hutan, Sumber Air Sarawak - Abang Johari

27/01/2026 07:37 PM

KUCHING, 27 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak bercadang menggunakan teknologi satelit berskala kecil dikenali sebagai CubeSats bagi menyokong pemantauan alam sekitar, pemuliharaan hutan serta pengurusan data tanah dan air di negeri itu.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata CubeSats mempunyai kelebihan dari segi kos yang lebih rendah.

“Para saintis menyatakan kos sebuah satelit tradisional bernilai antara 100 juta hingga 300 juta euro (RM470 juta hingga RM1.41 bilion) berbanding CubeSats yang berharga kurang daripada 500,000 euro (RM235 juta),” katanya pada majlis pelancaran Pameran dan Persidangan Aeroangkasa Asia Pasifik (APACE) 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu, pembangunan dan pelancaran satelit konvensional lazimnya mengambil masa antara lima hingga 15 tahun manakala CubeSats boleh dibina dan ditempatkan di orbit rendah dalam tempoh tidak sampai setahun.

“Sebelum ini, hanya negara dan syarikat besar mampu membangunkan satelit kerana kosnya tinggi dan tempoh pelaksanaan boleh mencecah lebih 10 tahun.

“Teknologi CubeSats mengubah landskap ini, apabila satelit nano boleh dibina dalam beberapa bulan dan dilancarkan pada kos jauh lebih rendah, sekali gus mengurangkan risiko kewangan,” katanya.

Abang Johari berkata teknologi yang akan dilaksanakan bakal digunakan untuk menentukan keadaan alam sekitar di Sarawak termasuk pemuliharaan hutan, data tanah, kawasan paya bakau serta aliran air. 

Pada masa sama, beliau berkata Kerajaan Negeri Sarawak sedang melakukan kajian secara terperinci berkaitan kos serta keperluan kejuruteraan sebelum pelaksanaan penuh projek ini. 

Selain manfaat teknologi, katanya inisiatif itu dijangka membuka peluang pekerjaan yang luas dalam bidang aeroangkasa, dengan keperluan tenaga kerja teknikal dianggar mencecah 30,000 orang, khususnya dalam kepakaran satelit.

Beliau berkata kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan tempatan melalui Kolej Universiti i-CATS dengan penubuhan Fakulti Teknologi Angkasa bagi melatih anak Sarawak dalam bidang aeroangkasa.

Mengenai pelancaran CubeSats di Sarawak, beliau berkata kerajaan negeri mengambil pendekatan berperingkat. 

“Langkah pertama ialah melatih tenaga kerja Sarawak terlebih dahulu supaya mereka benar-benar memahami teknologi angkasa terkini,” katanya.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan