AM > BERITA

Harga Barangan Masih Stabil, Tiada Kenaikan Luar Biasa Seperti Didakwa - KPDN P.Pinang

27/01/2026 08:47 PM

GEORGE TOWN, 27 Jan (Bernama) -- Harga barangan keperluan asas di Pulau Pinang masih berada pada tahap stabil menjelang perayaan Thaipusam dan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, kata Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri S. Jegan.

Beliau berkata  pemantauan harian oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) serta analisis perbandingan harga antara Disember dan bulan ini mendapati tidak wujud kenaikan harga luar biasa seperti didakwa.

Jegan berkata KPDN melalui mekanisme Price Catcher telah melaksanakan pemantauan harga secara menyeluruh melibatkan 45 pasar awam, 13 pasar raya besar dan 18 pasar raya di seluruh negeri dengan kutipan harga ke atas 41 jenis sayur termasuk barangan yang didakwa berlaku kenaikan harga.

“Analisis mendapati kebanyakan harga seperti tomato, halia, bendi, kacang panjang, kubis dan lobak merah menunjukkan perubahan harga yang kecil dan masih dalam julat munasabah, malah terdapat barangan tertentu yang mencatatkan penurunan harga berbanding bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kebimbangan Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHA) mengenai kenaikan harga barangan makanan asas menjelang sambutan Thaipusam dan Tahun Baharu Cina, susulan aduan pengguna.

Presiden PHA Datuk P. Murugiah sebelum ini mendakwa pihaknya telah menerima pelbagai laporan berhubung kenaikan mendadak harga sayur-sayuran dan barangan keperluan asas, mendorong mereka melakukan tinjauan pada 26 Jan di beberapa kedai runcit dan pasar basah di Pulau Pinang.

Sementara itu, Jegan berkata purata harga runcit tomato hanya meningkat daripada RM6.56 sekilo bulan lepas kepada RM7.28 sekilo bulan ini, manakala halia kekal stabil sekitar RM9.80 sekilo manakala bendi dan bunga kubis pula mencatatkan penurunan ketara, masing-masing daripada RM13.10 kepada RM9.99 sekilo dan RM10.24 kepada RM8.82 sekilo.

Katanya perbezaan harga turut dipengaruhi oleh bekalan, kuantiti pesanan serta kaedah perolehan barangan dengan premis runcit kecil mendapatkan bekalan daripada pasar borong berbanding pasar raya besar yang mempunyai pusat pengedaran sendiri dan membeli secara pukal.

"Berhubung dakwaan PHA mengenai kenaikan sehingga 100 peratus melibatkan tiga barangan, iaitu mangga besar, terung dan lemunggai, ia tidak termasuk dalam pemantauan harian PPH, namun pemeriksaan harga semasa mendapati harga barangan tersebut masih dalam lingkungan pasaran biasa," katanya.

Jegan berkata Bahagian Penguat Kuasa KPDN negeri akan terus meningkatkan pemeriksaan harian bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan termasuk meletakkan tanda harga yang jelas, menggunakan alat timbang yang ditentusahkan serta tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang melanggar undang-undang di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Timbang dan Sukat 1972 serta Akta Pelindungan Pengguna 1999.

“KPDN memberi jaminan kesiapsiagaan pegawai penguat kuasa sentiasa berada pada tahap terbaik bagi memastikan kestabilan harga dan kelancaran bekalan barangan keperluan harian, khususnya sepanjang musim perayaan,” katanya.

Jegan berkata pengguna digalakkan memanfaatkan aplikasi Price Catcher bagi membuat perbandingan harga, sekali gus memperkasakan kuasa pengguna sebagai langkah pencegahan daripada dimanipulasi oleh peniaga tidak bertanggungjawab.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan