KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini mengumumkan pelantikan Mohd Shukri Ishak sebagai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita, berkuat kuasa 1 Feb ini.
Pelantikan itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Mohd Shukri, 53, dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita selepas memangku jawatan tersebut sejak 22 Julai tahun lepas berikutan persaraan wajib Nasriah Darus.
Mohd Shukri yang berasal dari Kedah telah berkhidmat di Bernama sejak 1 Mei 1996, bermula sebagai eksekutif editorial.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Komunikasi) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), beliau pernah bertugas sebagai Ketua Biro Bernama Pahang dan Pewarta Luar Indonesia, selain menyandang jawatan Editor Eksekutif Meja Digital Media dan Ketua Penyiaran (TV dan Radio) Bernama.
Sementara itu, Harlina Samson, 58, diumumkan memangku jawatan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi berkuat kuasa 1 Feb ini bagi menggantikan Azlina Aziz yang bersara wajib pada 12 Jan lepas.
Berkelulusan Diploma (setara Ijazah) Komunikasi Massa (Kewartawanan) dari Institut Teknologi MARA (kini Universiti Teknologi MARA) dan Sarjana Sains Komunikasi Korporat dari Universiti Putra Malaysia, Harlina yang sebelum ini menyandang jawatan Ketua Dasar dan Perancangan Strategik, akan memangku jawatan itu selama setahun.
Harlina telah berkhidmat di Bernama sejak 16 Dis 1991 dan pernah menggalas jawatan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita selain sebagai Ketua Biro Bernama Sarawak.
Sementara itu, Timbalan Ketua Dasar dan Perancangan Strategik Ahmad Shukran Shaharuddin, 53, dilantik menggantikan Harlina berkuat kuasa 1 Feb ini.
Pengurus Kanan Berita dan Persembahan Bernama Radio Endok Baleana Bachok, 47, turut diumumkan menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Ketua Radio berkuat kuasa 1 Feb hingga 31 Mac ini bagi menggantikan Allahyarham Azlan Idris, 57, yang meninggal dunia pada 15 Jan lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial