EKONOMI > BERITA

EKSPORT MALAYSIA MENINGKAT 10.4 PERATUS, IMPORT NAIK 12 PERATUS PADA DISEMBER 2025

28/01/2026 02:01 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Eksport Malaysia meningkat sebanyak RM14.3 bilion atau 10.4 peratus tahun ke tahun kepada RM153 bilion pada Disember 2025, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan eksport itu adalah sumbangan daripada peningkatan eksport di Johor (+RM9.4 bilion), Pulau Pinang (+RM8.6 bilion), Perak (+RM546.5 juta) dan Selangor (+RM90.8 juta).

“Bagaimanapun, eksport menurun di Sarawak (-RM1.1 bilion), Sabah (-RM921.8 juta), Terengganu (-RM757.2 juta), Melaka (-RM378.0 juta), Pahang (-RM185.9 juta), Kedah (-RM104.9 juta), Kelantan (-RM103.0 juta), Labuan (-RM89.9 juta), Kuala Lumpur (-RM68.6 juta), Negeri Sembilan (-RM41.6 juta) dan Perlis (-RM11.8 juta),” katanya.

Beliau berkata Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama, menyumbang 40.1 peratus daripada eksport negara, diikuti oleh Johor (22.5 peratus), Selangor (14.7 peratus), Sarawak (6.0 peratus) dan Kuala Lumpur (3.3 peratus).

Sementara itu, import naik sebanyak RM14.3 bilion atau 12.0 peratus tahun ke tahun kepada RM133.7 bilion, disebabkan import lebih tinggi oleh Pulau Pinang (+RM5.8 bilion), Johor (+RM3.6 bilion), Kedah (+RM2.3 bilion), Selangor (+RM2.3 bilion), Kuala Lumpur (+RM1.3 bilion), Perak (+RM753.5 juta), Negeri Sembilan (+RM265.6 juta), Pahang (+RM207.0 juta), Terengganu (+RM58.1 juta) dan Sabah (+RM50.6 juta).

“Bagaimanapun, import merosot di Melaka (-RM1.3 bilion), Sarawak (-RM359.5 juta), Labuan (-RM282.0 juta) dan Kelantan (-RM21.8 juta),” katanya.

Mohd Uzir berkata Selangor mendominasi import Malaysia dengan bahagian 27.0 peratus, diikuti Pulau Pinang (24.8 peratus), Johor (21.1 peratus), Kuala Lumpur (7.7 peratus) dan Kedah (7.0 peratus).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan