AM > BERITA

MOT Kekal Sasaran Operasi ECRL Bermula Januari 2027 - Loke

28/01/2026 01:56 PM

PUTRAJAYA, 28 Jan (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) kekal dengan sasaran pengoperasian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mengikut jadual, iaitu pada Januari 2027, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata walaupun ujian dan pemeriksaan sistem masih belum dimulakan, kementerian itu berpandangan bahawa faktor paling kritikal dalam projek rel bukan hanya melibatkan pembinaan landasan, tetapi keupayaan sistem operasi untuk berfungsi secara bersepadu dan stabil sebelum perkhidmatan boleh dimulakan.

“Yang pertamanya, kena faham bahawa sistem kereta api ini bukan saja tengok landasan, perlu ada integrasi sistem dulu. Jadi pemeriksaan ataupun ujian sistem belum pun dimulakan. 

“Jadi, MOT masih kekal dengan jadual, iaitu Januari tahun depan. Sebab kita sudah ada banyak pengalaman,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 MOT, di sini hari ini.

Loke berkata antara contoh pengalaman terdahulu termasuk isu operasi dalam perkhidmatan aerotrain di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), yang menghadapi masalah berkaitan sistem dan perisian sehingga menjejaskan kelancaran operasi perkhidmatan.

Beliau menegaskan aspek paling mencabar dalam sistem rel adalah ujian integrasi bagi memastikan semua komponen dapat berfungsi dengan baik dan selaras antara satu sama lain sebelum operasi penuh perkhidmatan dimulakan.

“MOT akan terus memantau serta memastikan semua keperluan teknikal dipenuhi bagi menjamin keselamatan, kebolehpercayaan dan kelancaran operasi ECRL,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan projek ECRL yang merentasi empat negeri, iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor telah mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 89 peratus setakat Oktober 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan