AM > BERITA

Rumah Sekretariat AFPPD Siap Dibina - Nanta

28/01/2026 09:48 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Pembinaan Rumah Sekretariat Forum Ahli Parlimen Negara Asia mengenai Populasi dan Pembangunan (AFPPD) yang menelan kos RM790,930 di sini siap pada 10 Jan lepas, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata penyediaan rumah berkenaan, yang mula dibina pada 15 Julai 2025, amat dibanggakan apatah lagi apabila Malaysia dipilih sebagai negara tuan rumah Sekretariat AFPPD selepas mengambil alih peranan itu daripada Jepun.

“Sekretariat AFPPD akan berpindah ke Kuala Lumpur, menjadikan Malaysia pusat operasi AFPPD di rantau Asia Pasifik bagi tempoh sekurang-kurangnya lima tahun.

“Pemilihan ini mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan aktif Malaysia dalam memperjuangkan agenda pembangunan mampan, kesaksamaan jantina, hak kesihatan, pemerkasaan belia serta isu populasi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Pengerusi AFPPD Malaysia itu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pasukan AFPPD dan berharap Rumah Sekretariat berkenaan mampu menjadi simbol kepercayaan dan kerjasama serantau yang berterusan.

Terdahulu, Nanta meluangkan masa melawat Rumah Sekretariat berkenaan yang juga hasil komitmen dan kerja keras seluruh pasukan AFPPD.

 Malaysia dipilih sebagai negara tuan rumah bagi Sekretariat AFPPD semasa Perhimpunan Agung AFPPD ke-15 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada April tahun lepas. 

AFPPD, yang ditubuhkan pada 1981, adalah rangkaian luas 30 Jawatankuasa Kebangsaan terdiri daripada Ahli Parlimen yang berfokus kepada mempromosikan penglibatan Parlimen dalam menangani isu penduduk di rantau Asia dan Pasifik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan