KOTA BHARU, 29 Jan (Bernama) – Kerajaan Sarawak melalui Biro Pendidikan Islam menyumbangkan RM1 juta kepada Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) bagi membangunkan asrama baharu pelajar lelaki.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pembinaan asrama baharu itu bertujuan memberi keselesaan dan keselamatan kepada pelajar lelaki yang melanjutkan pengajian di institusi berkenaan.
“Kita mempunyai asrama yang baik untuk pelajar wanita, tetapi untuk pelajar lelaki, kita perlu membangunkan asrama baharu dengan aspek keselamatan yang lebih baik. Justeru, kerajaan Sarawak melalui Biro Pendidikan Islam akan menyumbang RM1 juta untuk tujuan ini.
“Selain itu, kita turut memberi sumbangan RM20,000 kepada Perkim Kelantan,” katanya selepas menyampaikan sijil kepada graduan pada Majlis Penyampaian Sijil kali ke-29 Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) di Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra, Panji, di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 104 graduan telah menerima sijil membabitkan 39 penerima Sijil Asas Pengajian Islam (SAP) dan 65 penerima Sijil Pengajian Islam (SPI).
Abang Johari, yang juga Yang Dipertua PERKIM, berkata IDIP sentiasa menekankan kepentingan ilmu sebagai asas membina masyarakat bertakwa, berakhlak mulia dan berdaya saing.
"IDIP telah menjadi platform unggul dalam melahirkan kader dakwah yang bukan sahaja mahir dalam ilmu, malah berwibawa dalam menyampaikan mesej Islam secara efektif kepada masyarakat.
"Selain itu, IDIP menekankan pembangunan kepimpinan dan kemahiran profesional agar graduan mampu menghadapi cabaran dunia moden tanpa mengabaikan nilai-nilai Islam," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial