AM > BERITA

Bomba Berjaya Padam 80 Peratus Kebakaran Tanah Gambut Di Pengerang

29/01/2026 04:32 PM

KOTA TINGGI, 29 Jan (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah berjaya memadamkan kira-kira 80 peratus kawasan kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang, setakat 1 tengah hari ini.

Komander Operasi Ketua Zon 2 JBPM Johor Rasidi Md Yunos berkata operasi pemadaman yang dijalankan susulan kebakaran sejak Jumaat lepas telah membabitkan kira-kira 79.64 hektar daripada keseluruhan 99.55 hektar kawasan kebakaran.

Beliau berkata antara strategi digunakan ialah menerusi pengeboman air dan membuat parit sebagai pemisah kawasan kebakaran daripada merebak.

 “Strategi lain ialah 'water direct attack' melibatkan anggota pemadaman, sistem semburan menggunakan lapan unit pemercik di sempadan kediaman penduduk dan kawasan kebakaran serta 'total flooding' menggunakan pam hydrosub serta pam HPM daripada Jabatan Alam Sekitar bagi membanjirkan kawasan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rasidi berkata operasi pemadaman itu disertai 66 anggota bomba bersama aset logistik termasuk jentera dan sebuah helikopter.

Operasi turut mendapat kerjasama pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Majlis Perbandaran Pengerang, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya, Jabatan Alam Sekitar serta Tenaga Nasional Berhad.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JBPM Negeri Johor Muhammad Al Mustakim Abdul Hady optimis kebakaran di kawasan berkenaan dapat dipadamkan hari ini.

“Insya-Allah, jika cuaca mengizinkan, kita dapat padam hari ini, namun operasi tetap diteruskan kerana kita tidak mahu ada puing atau abu kecil yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Unit Udara JBPM dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah, Subang, turut menggunakan helikopter MI-17-IV bagi membantu memadamkan kebakaran di sektor D dan E iaitu kawasan tengah kebakaran yang sukar dimasuki anggota bomba.

Sebanyak 157 penduduk daripada 51 keluarga yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara di sini juga dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing hari ini setelah keadaan semakin pulih.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan