AM > BERITA

Kakitangan Klinik Kesihatan Jalan Perak Sesak Nafas Terhidu Gas Tercemar

29/01/2026 04:33 PM

GEORGE TOWN, 29 Jan (Bernama) -- Seorang juruteknologi makmal yang bertugas di Klinik Kesihatan Jalan Perak di sini, dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mengalami sesak nafas dan tidak sedarkan diri dipercayai akibat terhidu gas tercemar pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata wanita berusia 43 itu dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.13 pagi sebelum menggerakkan sepasukan 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, dibantu BBP Lebuh Pantai ke lokasi kejadian.

“Insiden melibatkan kebocoran gas yang belum dikenal pasti. Pasukan Keluaran Operasi (PKO) melakukan ‘size up’ dan sedang mencari punca kebocoran gas. 

“Mangsa dipercayai terhidu gas tercemar ketika berada di dalam pejabat sebelum mengalami sesak nafas dan pengsan di luar bangunan, sebelum dibawa ke HPP untuk rawatan lanjut. Kami difahamkan mangsa mempunyai penyakit darah tinggi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

John berkata pemeriksaan lanjut oleh Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari BBP Bayan Baru mendapati tiada unsur kebocoran gas atau tumpahan bahan kimia dan bacaan kandungan oksigen di ruang terlibat adalah normal iaitu 21 peratus.

Beliau berkata operasi ditamatkan pada 11.06 pagi selepas keadaan disahkan selamat dan tiada risiko kepada kakitangan serta orang awam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan