AM > BERITA

1,399 Projek Perumahan Swasta Sakit, Terbengkalai Dipulihkan KPKT

30/01/2026 02:16 PM

PUTRAJAYA, 30 Jan (Bernama) -- Sebanyak 1,399 projek perumahan swasta melibatkan 167,423 unit rumah dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM133.78 bilion berjaya dipulihkan sejak penubuhan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) Bilangan 1/2023.

Daripada jumlah itu, 109 projek berjaya dipulihkan daripada status “sakit” kepada “lancar”, manakala 1,265 projek sakit disiapkan sepenuhnya hingga memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata 34 projek perumahan terbengkalai turut berjaya dipulihkan sama ada melalui penyiapan fizikal projek atau melalui penyelesaian melibatkan pembeli.

“Hingga 31 Dis lepas, 161 projek perumahan swasta berstatus “lewat”, 349 projek berstatus “sakit” dan 99 projek berstatus “terbengkalai” direkodkan di seluruh negara dan masih berada dalam kawalan hasil pemantauan berterusan dan pelaksanaan intervensi bersasar melalui platform TFST.

“Dalam perkembangan memberangsangkan ini, jumlah projek terbengkalai menunjukkan penurunan daripada 102 projek kepada 99 projek, sekali gus mencerminkan keberkesanan kerjasama erat antara TFST dan pihak berkepentingan dalam memulihkan projek perumahan demi kepentingan pembeli dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan Pasca-Mesyuarat TFST Bilangan 1 Tahun 2026 hari ini.

Beliau berkata TFST akan terus berfungsi sebagai platform utama dalam menangani isu projek perumahan swasta bermasalah dengan cadangan penyelesaian yang praktikal, berkesan dan memberi impak nyata.

Selain itu, Aiman Athirah berkata ia juga selaras dengan komitmen Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mengurangkan bilangan projek bermasalah secara berperingkat dan mencapai sifar projek perumahan terbengkalai menjelang 2030.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan