NEW DELHI, 30 Jan (Bernama) -- Pakistan dan Bangladesh meraikan penyambungan semula penerbangan terus selepas 14 tahun apabila pesawat Biman Bangladesh Airlines mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, Karachi.
“Misi pertama dari Dhaka mendarat di Karachi lewat malam tadi, menandakan penyambungan semula hubungan udara antara Pakistan dan Bangladesh selepas 14 tahun. Mencapai matlamat yang dinanti-nantikan ini adalah fokus utama saya semasa lawatan ke Bangladesh pada Ogos 2025,” kata Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar pada Jumaat.
Dar berkata pemulihan penerbangan terus itu akan meningkatkan pertukaran belia, akademik, budaya, perniagaan, dan hubungan masyarakat, termasuk hubungan keluarga.
Pelepasan penerbangan BG-341 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal pada Khamis dilakukan oleh Penasihat kerajaan interim Bangladesh bagi Kementerian Penerbangan Awam dan Pelancongan Sheikh Bashir Uddin, Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Bangladesh Imran Haider, Ketua Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Bangladesh Leftenan Jeneral Udara Mohammad Mostafa Mahmud Siddiq dalam majlis yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif Biman Mohammad Shafiqur Rahman.
Perkhidmatan itu akan bermula dengan dua penerbangan seminggu. Penerbangan sulung membawa 150 penumpang, menurut laporan media Bangladesh.
Pakistan International Airlines (PIA) yang merancang untuk melancarkan perkhidmatan ke Bangladesh, menyambut kedatangan Biman.
"Satu kepulangan yang amat dinantikan - PIA menyambut kehadiran saudara kita dari Bangladesh dengan bangga dan mesra. Dua negara kembali menjalinkan hubungan erat menerusi ruang udara," katanya menerusi hantaran di aplikasi X.
Sebelum ini, perjalanan antara kedua-dua negara yang terpisah sejauh 1,500 kilometer terpaksa menggunakan laluan transit yang menyulitkan, terutamanya menerusi wilayah Teluk.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial