AM > BERITA

Mitos "Gastrik": Doktor Gesa Lakukan Pemeriksaan Jika Alami Gejala Berterusan

30/01/2026 03:04 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Pakar perubatan memberi amaran kepada rakyat Malaysia agar tidak memandang ringan ketidakselesaan berterusan pada bahagian atas abdomen dengan melabelkannya sebagai gastrik kerana penyalahgunaan istilah itu boleh melambatkan diagnosis penyakit serius termasuk kanser perut. 

 Pakar Bedah Am, Gastro-Usus Atas dan Bariatrik, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Sou Jing Kim berkata penggunaan frasa “sakit gastrik” yang sering digunakan tidak tepat dari aspek perubatan dan sering membawa kepada andaian berbahaya. 

“Tiada istilah seperti “sakit gastrik”. Gastritis ialah istilah yang merujuk kepada radang yang dilihat di bawah mikroskop, bukan diagnosis yang boleh dibuat hanya berdasarkan gejala,” katanya dalam kenyataan. 

Sebaliknya, Dr Sou berkata doktor akan membezakan antara dispepsia berfungsi, simptom senak tanpa masalah struktur dan punca organik seperti ulser peptik atau kanser perut peringkat awal.

Beliau berkata gejala ketidakselesaan berfungsi termasuk kembung perut, cepat kenyang, sendawa atau loya selain penurunan berat badan tanpa sebab, hilang selera makan, sakit perut bahagian atas yang berterusan, muntah atau anemia yang memerlukan penilaian perubatan segera. 

Beliau berkata prevalens dispepsia dilaporkan setinggi 15 peratus dalam kalangan penduduk luar bandar dan 25 peratus dalam kalangan penduduk bandar. 

Dr Sou berkata gaya hidup memainkan peranan besar dalam meningkatkan ketidakselesaan perut dan risiko kanser, terutamanya dalam pemakanan makanan yang diawet atau dijeruk, ikan masin, daging yang hangus atau dibakar (barbeku) dan pengambilan makanan diproses secara berlebihan manakala merokok dan alkohol menambahkan tekanan kepada lapisan perut.

Beliau berkata faktor risiko yang lebih besar kepada masalah perut termasuk diet secara keseluruhan, merokok, pengambilan alkohol dan jangkitan H. pylori, iaitu bakteria yang menjangkiti lapisan perut dan diiktiraf sebagai karsinogen kelas 1. 

“H. pylori dengan sendirinya tidak menyebabkan kanser secara langsung. Tetapi jangkitan kronik mencetuskan keradangan dan ini boleh merosakkan lapisan perut secara perlahan, membawa kepada gastritis atrofi, perubahan prakanser dan akhirnya kanser.

“Pengambilan ubat sendiri dengan antasid mungkin melegakan simptom untuk sementara tetapi tidak akan menyelesaikan punca sebenar masalah. Jika sakit berterusan atau penurunan berat badan, anemia atau muntah, pergi dapatkan pemeriksaan perubatan,” katanya. 

Dr Sou berkata jangkitan itu boleh dikesan melalui endoskopi dengan biopsi atau pilihan bukan invasif seperti ujian nafas urea atau ujian antigen najis dan boleh dirawat dengan gabungan antibiotik serta perencat asid selama dua minggu. 

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mereka yang mengalami gejala “gastrik” yang tidak pulih selepas dua minggu mengambil ubat atau jika berlaku ciri-ciri yang membimbangkan, untuk melakukan endoskopi.  

Berhubung kebimbangan untuk melakukan endoskopi, Dr Sou berkata prosedur moden kini membolehkan ia dilakukan dengan pantas dengan penggunaan ubat pelali ialah rutin dan secara umumnya diterima dengan baik. 

“Kebanyakan pesakit terkejut kerana berasa selesa. Mereka sering memberitahu saya selepas itu bahawa tidak merasai pun (prosedur tersebut),” katanya dan menambah endoskopi juga membolehkan doktor melakukan biopsi pada kawasan mencurigakan dan merawat ulser tertentu secara langsung dengan alat canggih pengimejan sedang diperkenalkan di Malaysia.

Senada ialah Pakar Perunding Onkologi Klinikal, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Vance Koi Yung Chean yang berkata negara seperti Jepun dan Korea Selatan telah membuktikan keberkesanan program endoskopi dalam mengesan kanser perut lebih awal. 

Walaupun kanser perut  tidak tersenarai dalam 10 jenis kanser utama di Malaysia, beliau berkata kanser itu sering dikesan pada peringkat lewat kerana gejala yang tidak jelas. 

“Di Malaysia, tumpuan ialah kepada kumpulan berisiko tinggi, iaitu mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang tinggi, jangkitan H. pylori yang lama atau masalah gastrik yang kronik. Kanser perut kadangkala dipanggil pembunuh senyap kerana gejalanya tidak spesifik dan apabila pemeriksaan sewajarnya dilakukan, penyakit itu sudah berada pada peringkat lanjut,” katanya.

Berhubung rawatan, Dr Koi berkata walaupun pembedahan kekal sebagai tunjang utama rawatan, kemajuan terkini seperti teknik invasif minimum seperti pembedahan laparoskopik atau robotik meningkatkan keselamatan pesakit dan membolehkan pemulihan lebih pantas bagi sesetengah pesakit.

“Peranan saya ialah untuk menyokong rawatan pembedahan dengan terapi sistemik. Ini termasuk kemoterapi, terapi sasaran dan imunoterapi, sama ada sebelum atau selepas pembedahan untuk meningkatkan hasil jangka panjang dan mencapai kepuasan pesakit,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata pengesanan awal dan rawatan yang tepat membolehkan pesakit berpeluang  menikmati kehidupan yang lebih berkualiti dan lebih panjang selain rawatan masa kini yang jauh lebih maju membolehkan keluarga menerima lebih banyak sokongan berbanding sebelumnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan