AM > BERITA

FAMA Perluas Rangkaian Kopiesatu, Buka Peluang Keusahawanan Dan Ekonomi Setempat

30/01/2026 03:29 PM

SEREMBAN, 30 Jan (Bernama) -- Usaha memperluas rangkaian Kopiesatu kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) disifatkan langkah strategik dalam meningkatkan peluang keusahawanan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata inisiatif itu bukan sahaja membuka ruang kepada usahawan tempatan untuk berkembang malah berpotensi meningkatkan rantaian ekonomi komuniti melalui penglibatan pemain industri kecil dan sederhana.

Beliau berkata FAMA membangunkan 23 outlet Kopiesatu di seluruh Malaysia dengan terbaharu cawangan di Dataran Senawang menawarkan model pelesenan yang menyeluruh merangkumi latihan, bimbingan operasi, penggunaan sistem jualan, promosi serta pemantauan berterusan. 

“Pendekatan ini membuktikan komitmen FAMA dalam melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing, mampan dan berkembang bersama-sama jenama tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi FAMA Aminuddin Zulkipli berkata cawangan itu antara yang beroperasi di bawah model perniagaan secara pelesenan, iaitu inisiatif strategik agensi itu bagi menyediakan platform pemasaran dan peluang keusahawanan khususnya dalam sektor makanan dan minuman berasaskan kopi tempatan.

Beliau berkata model pelesenan Kopiesatu ditawarkan FAMA merangkumi sokongan menyeluruh kepada usahawan meliputi aspek pentadbiran, kursus dan latihan, penggunaan perisian sistem jualan, set uniform rasmi, promosi dan hebahan, pemantauan operasi serta kos berkaitan yang lain. 

"Pendekatan ini bertujuan memastikan setiap cawangan Kopiesatu beroperasi mengikut standard kualiti dan identiti jenama ditetapkan," katanya.

Beliau berkata pelesenan Kopiesatu turut menyediakan beberapa pakej perniagaan antaranya Pakej Kiosk, Pakej Food Truck (baharu dan sedia ada) serta Pakej Push Cart, sekali gus memberi fleksibiliti kepada usahawan mengikut kesesuaian lokasi dan kapasiti perniagaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan