AM > BERITA

Pesta Angin Timur Perlis 2026 Sasar Lebih 300,000 Pengunjung

30/01/2026 08:15 PM

KANGAR, 30 Jan (Bernama) -- Pesta Angin Timur (PAT) Perlis 2026 menyasarkan kehadiran lebih 300,000 pengunjung termasuk pelancong domestik dan luar negara sepanjang penganjuran selama tiga hari bermula 6 Feb ini di Dataran Kangar Jaya di sini.

Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata edisi kali ini menampilkan beberapa pengisian baharu dan berskala besar antaranya Himpunan Mega Basikal Lipat yang kali pertama diadakan di negeri itu, dengan konsep kayuhan santai mengelilingi bandar Kangar sejauh 20 kilometer.

"Setakat ini lebih 200 peserta termasuk dari luar negara telah mengesahkan penyertaan,” katanya pada sidang media PAT Perlis 2026 di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.

Abu Bakar berkata sambutan daripada penyertaan antarabangsa juga meningkat tahun ini, susulan promosi berterusan dijalankan dengan kerjasama agensi pelancongan termasuk di Thailand bagi menarik pelancong serantau.

Beliau berkata PAT Perlis 2026 telah disenaraikan dalam kalendar pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan menjadi antara acara pembuka tirai pelancongan budaya negara.

"Kepelbagaian seni dan budaya terus menjadi tunjang utama pesta berkenaan termasuk persembahan simfoni pergendangan yang menghimpunkan variasi gendang pelbagai kaum.

“Pengunjung juga bakal disajikan dengan persembahan seni tradisi seperti makyong yang mempunyai nilai simbolik kepada Institusi Diraja negeri serta pelbagai lagi persembahan warisan tempatan dan nusantara,” katanya.

Selain itu, Abu Bakar berkata PAT Perlis 2026 turut menampilkan pelbagai aktiviti rekreasi dan kekeluargaan seperti belon udara panas, paramotor, himpunan motosikal klasik selain zon jualan yang menawarkan makanan tradisional, produk industri kecil dan sederhana (IKS) serta kraftangan tempatan.

Abu Bakar berkata penganjuran itu bukan sahaja mengangkat budaya dan warisan Perlis malah menjadi platform penting dalam merancakkan ekonomi komuniti setempat serta mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai destinasi pelancongan budaya utama di utara tanah air.

“Penganjuran pesta itu kali ini juga menyasarkan nilai jualan dapat dijana melebihi RM5 juta menerusi penglibatan usahawan tempatan, peniaga kecil serta penggiat industri pelancongan negeri,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan