AM > BERITA

Pusat Jagaan Kanak-kanak PPR Seri Kepayang Fokus Kebajikan, Bantu Keluarga B40

31/01/2026 08:57 PM

IPOH, 31 Jan (Bernama) -- Perasmian Pusat Jagaan Kanak-Kanak Iman di Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Kepayang di sini hari ini, ialah satu inisiatif yang memberikan fokus kepada kebajikan kanak-kanak serta kesejahteraan keluarga berpendapatan rendah di kawasan perumahan awam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak Sandrea Ng Shy Ching berkata dengan kadar yuran lebih rendah berbanding pasaran, pusat itu membantu meringankan beban kewangan keluarga B40 serta memberikan ruang, khususnya kepada ibu untuk menyertai sektor pekerjaan tanpa tekanan kos penjagaan anak yang tinggi.

Beliau berkata pusat itu bukan sekadar berfungsi sebagai tempat jagaan, malah berperanan sebagai pusat pendidikan awal yang diiktiraf untuk kanak-kanak berusia empat hingga 10 tahun. 

"Pusat ini mampu menampung hingga 23 kanak-kanak pada satu-satu masa dan beroperasi dari 7.30 pagi hingga 5.30 petang bagi penjagaan sepenuh hari, serta 1 tengah hari hingga 5.30 petang bagi penjagaan separuh hari atau transit.

"Inisiatif ini selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 melalui flagship Perumahan Sejahtera, serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 11) yang menekankan pembangunan komuniti yang inklusif dan mampan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ng berkata PPR Seri Kepayang yang menempatkan lebih 1,200 penduduk serta PPR Rumah Pangsa Jalan Hospital dengan lebih 2,000 penduduk berdepan keperluan mendesak terhadap kemudahan penjagaan kanak-kanak yang selamat dan berpatutan, khususnya bagi ibu bapa yang bekerja. 

Sebelum ini, katanya ramai kanak-kanak terpaksa ditinggalkan tanpa pengawasan yang mencukupi atau ditempatkan di rumah jiran dalam keadaan yang kurang sesuai.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) telah mengambil langkah proaktif melalui kerjasama dengan pihak operator untuk membuka Pusat Jagaan Kanak-Kanak Iman sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) LPHP.

Ng berkata kejayaan penubuhan pusat itu turut didorong oleh komitmen LPHP dalam melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian ruang dewan PPR Seri Kepayang mengikut garis panduan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bomba, serta mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Ipoh. 

Beliau berkata sokongan turut diberi melalui kadar sewaan di bawah harga pasaran bagi memastikan kelangsungan operasi pusat itu.

"Kerajaan Negeri Perak percaya bahawa pembangunan perumahan yang holistik bukan sahaja menyediakan tempat tinggal, tetapi juga membina ekosistem komuniti yang menyokong perkembangan kanak-kanak, memperkasakan keluarga dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

"Penubuhan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Iman diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif berimpak tinggi yang memberikan manfaat kepada rakyat, khususnya golongan B40, selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk membina komuniti sejahtera dan berdaya tahan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan