AM > BERITA

Solat Sunat Istisqa' Di Masjid, Surau Di Johor Mohon Hujan - Exco

01/02/2026 09:35 AM

JOHOR BAHRU, 1 Feb (Bernama) -- Semua masjid dan surau di seluruh Johor diarahkan melakukan solat sunat memohon hujan (istisqa’) secara berjemaah selama tiga hari berturut-turut mulai hari ini hingga Isnin susulan cuaca kering dan beberapa kes kebakaran yang berlaku di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata arahan itu dibuat bagi menjunjung titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail sebagai usaha memohon ke hadrat Allah SWT agar negeri ini diturunkan hujan.

Beliau berkata solat sunat istisqa’ itu hendaklah dilaksanakan selepas solat fardu zuhur di semua masjid dan surau di negeri ini.

“Usaha ini bagi memohon ke hadrat Allah SWT agar Johor diturunkan hujan dan seterusnya pusat-pusat tadahan air dipenuhi dengan bekalan air yang bersih dan mencukupi.

“Langkah ini juga bagi memenuhi keperluan Bangsa Johor yang dikasihi. Inisiatif ini diharapkan dapat membantu meredakan serta memadam kebakaran yang dilaporkan berlaku di beberapa lokasi di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beberapa siri kebakaran terbuka berlaku sejak kebelakangan ini dengan kejadian terbesar dilaporkan terjadi di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang, dekat Kota Tinggi membabitkan kebakaran tanah gambut seluas hampir 100 hektar.

Terbaharu, kira-kira 12 hektar hutan tanah gambut di Batu 13 Bukit Naning, Muar berhampiran Ladang Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) Bukit Naning dilaporkan terbakar semalam.

Berdasarkan statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sebanyak 3,565 kes kebakaran terbuka diterima agensi itu di seluruh negara pada bulan lepas dengan enam kebakaran terbuka berskala besar direkodkan di Johor.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan