AM > BERITA

Strategi Promosi VM2026 Perlu Fokus Kumpulan Sasaran - Ahmad Zahid

01/02/2026 08:06 PM

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Strategi promosi bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia (VM2026) perlu diperincikan mengikut kesesuaian kumpulan sasaran bagi memastikan keberkesanan kempen dalam menarik kehadiran pelancong.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pendekatan pemasaran tidak boleh bersifat umum kerana setiap segmen pelancong mempunyai minat yang berbeza.

“Ia harus diikuti dengan tindakan-tindakan susulan...tidak boleh menggunakan satu bentuk publisiti sahaja dan perlu sesuai mengikut kumpulan sasaran berkenaan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Sebelum itu beliau melepaskan peserta Malaysia Night Music Run sempena Larian Visit Malaysia 2026.

Mengulas mengenai acara larian itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet VM2026 menzahirkan rasa kagum apabila kehadiran peserta mencecah lebih 5,000 orang, jauh melepasi sasaran awal 3,000 peserta.

Beliau turut menekankan kepentingan penganjuran acara sukan seperti maraton dalam menarik kemasukan pelancong asing.

“Diharap ramai peserta-peserta antarabangsa akan menyertai maraton seperti ini dan mudah-mudahan dengan publisiti yang baik kita akan dapati pelancong luar akan datang lebih ramai dan tentunya ini akan menjana ekonomi negara kita,” katanya.

Ahmad Zahid turut memuji usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tourism Malaysia yang proaktif mengadakan program lawatan suai kenal untuk kumpulan kategori berbeza seperti pemborong, peruncit, syarikat penerbangan serta pengamal media bagi memperkukuh promosi pelancongan secara menyeluruh.

Terdahulu pada sebelah pagi, acara KL10 iaitu larian sejauh 10 kilometer yang disertai lebih 2,000 pelari dilepaskan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan