ISKANDAR PUTERI, 3 Feb (Bernama) -- Paras air 16 empangan di Johor masih berada pada tahap selamat dan beroperasi dengan baik walaupun negeri ini berdepan cuaca panas berpanjangan selama lebih sebulan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata secara keseluruhan, kapasiti empangan di Johor melebihi 70 peratus sekali gus menunjukkan bekalan air mentah masih mencukupi untuk menampung keperluan semasa.
“Sebanyak 10 daripada empangan berkenaan dioperasikan Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ), manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (empat), Petronas dan PUB Singapura masing-masing satu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Menyiapkan Baki Kerja Jambatan Konkrit Jalan Gelang Patah-Pendas di sini hari ini.
Fazli berkata bagaimanapun terdapat empat empangan yang mencatatkan paras air di bawah 60 peratus dan perlu diberi perhatian rapi walaupun belum berada pada tahap kritikal.
Empangan berkenaan ialah Empangan Upper Layang dengan paras 46.89 peratus, Empangan Pulai 1 (47.63 peratus), Empangan Gunung Pulai 2 (56 peratus) serta Empangan Lower Layang yang berada pada paras 60.33 peratus.
“Empat empangan ini berada di bawah pengurusan BAKAJ dan setakat bacaan hari ini, semuanya masih belum mencapai paras kritikal. Semua empangan dan loji rawatan air masih beroperasi dengan baik,” katanya.
Mohamad Fazli berkata empangan di Johor mempunyai margin simpanan air yang direka untuk menampung cuaca panas dan kering antara tiga hingga enam bulan.
“Kita sudah melalui (tempoh) lebih sebulan tanpa hujan. Jadi, mesyuarat koordinasi akan diadakan esok bagi menyusun kawasan yang perlu bersedia sekiranya berlaku penutupan atau pengurangan operasi loji, namun buat masa ini keadaan masih terkawal,” katanya.
Beliau berkata cadangan pelaksanaan pembenihan awan akan dibincangkan, namun pelaksanaannya bergantung kepada keperluan serta faktor cuaca termasuk kelajuan angin yang boleh menjejaskan keberkesanan operasi tersebut.
Semua masjid dan surau di seluruh Johor diarahkan melakukan solat sunat memohon hujan (istisqa') secara berjemaah selama tiga hari berturut-turut bermula Ahad susulan cuaca kering dan beberapa kes kebakaran yang berlaku di negeri ini.
Beberapa siri kebakaran terbuka berlaku kebelakangan ini dengan kejadian terbesar dilaporkan di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang, dekat Kota Tinggi membabitkan kebakaran tanah gambut seluas hampir 100 hektar.
Turut terbakar kira-kira 12 hektar hutan tanah gambut di Batu 13 Bukit Naning, Muar berhampiran Ladang Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) Bukit Naning.
Sementara itu Mohamad Fazli berkata projek pembinaan jambatan konkrit di Jalan Gelang Patah-Pendas yang menelan kos RM13 juta itu telah disiapkan 27 Jan lepas dan dijangka memberi manfaat kepada 80,000 pengguna.
Beliau berkata projek yang bermula pada 2016 itu telah diklasifikasikan sebagai projek sakit apabila sepatutnya siap pada 2020, namun berhadapan kekangan wabak COVID-19 dan keperluan melantik kontraktor baharu.
“Alhamdulillah, hari ini telah siap dan dapat digunakan. Projek ini juga melibatkan pemasangan lampu jalan dan pelebaran jalan. Selain itu, jambatan ini juga dapat melancarkan aliran Sungai Gelang Patah sekali gus mengurangkan risiko banjir di kawasan ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial