EKONOMI > BERITA

PORTFOLIO SUKUK JANGKA PENDEK IILM CECAH PARAS TERTINGGI BAHARU US$6.795 BILION

03/02/2026 11:59 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM) hari ini memaklumkan memaklumkan bahawa baki sukuk beredarnya meningkat ke paras tertinggi baharu berjumlah US$6.795 bilion (US$1 = RM3.93), melonjak 64 peratus daripada US$4.14 bilion setahun lepas.

Penerbit utama dunia bagi instrumen pengurusan kecairan jangka pendek patuh Syariah itu berkata peningkatan berkenaan dipacu oleh lelongan terbaharu yang berjaya menerbitkan dan menerbitkan semula sukuk jangka pendek berjumlah US$1.01 bilion merentasi tempoh matang satu, tiga, enam dan 12 bulan.

Ini sekali gus mencerminkan permintaan global yang berterusan terhadap instrumen kecairan Islam berkualiti tinggi, kata IILM dalam satu kenyataan.

Empat siri tersebut ditetapkan pada kadar 3.85 peratus bagi US$290 juta (satu bulan), 3.87 peratus bagi US$480 juta (tiga bulan), 3.85 peratus bagi US$210 juta (enam bulan) dan 3.45 peratus bagi US$30 juta (12 bulan).

Permintaan terhadap lelongan adalah meluas, dengan penyertaan daripada rangkaian peniaga utama IILM serta pelabur institusi merentasi pelbagai bidang kuasa.

Jumlah bidaan mencecah US$2.67 bilion, menghasilkan nisbah bidaan kepada terbitan purata sebanyak 2.6 kali, mencerminkan keyakinan pelabur yang berterusan dalam persekitaran pasaran yang berubah-ubah, katanya.

Lelongan itu merupakan penerbitan sukuk ketiga IILM bagi 2026, menjadikan jumlah terbitan setakat tahun ini kepada US$3.275 bilion merangkumi 12 siri dengan tempoh matang berbeza.

Kesemua terbitan dilaksanakan di bawah program sukuk jangka pendek IILM bernilai US$8.5 bilion, yang masing-masing diberi penarafan A-1 oleh S&P Global Ratings dan F1 oleh Fitch Ratings.

Ketua Pegawai Eksekutif IILM, Mohamad Safri Shahul Hamid, berkata penerbitan itu jelas  mencerminkan permintaan kukuh serta kepantasan pelabur menyalurkan kecairan ke dalam program berkenaan.

“Peningkatan ini turut disokong oleh penyertaan aset jangka pendek berkualiti tinggi di bawah format pembiayaan baharu yang diperkenalkan pada 2025,” katanya.

Beliau berkata meskipun paras baki sukuk beredar itu akan berubah secara semula jadi mengikut tempoh matang, program sukuk itu menyediakan kapasiti penerbitan sehingga US$8.5 bilion, sekali gus menawarkan pembiayaan yang fleksibel dan berskala kepada penerbit berdaulat, berkaitan kerajaan serta supranasional.

Menerusi kepelbagaian aset yang berterusan, IILM berkata pihaknya kekal memberi tumpuan untuk memperkukuh daya tahan dan keberkesanan infrastruktur kecairan Islam global.

IILM secara konsisten menerbitkan sukuk jangka pendek merentasi pelbagai tempoh matang bagi memenuhi keperluan kecairan institusi yang menawarkan perkhidmatan kewangan Islam.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan