AM > BERITA

Pelantikan PAT Baharu Buka Peluang Penetapan Semula Budaya Kerja, Amalan ATM

03/02/2026 05:45 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Pelantikan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24 membuka peluang strategik pelaksanaan penetapan semula institusi atau institutional reset yang menyeluruh meliputi budaya kerja, sistem pengurusan dan amalan kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Markas ATM dalam kenyataan memaklumkan pelantikan baharu itu membawa mandat penting untuk menetapkan hala tuju yang jelas berteraskan ketelusan, disiplin serta pematuhan kepada nilai-nilai teras perkhidmatan ketenteraan.

“Sebagai PAT, kepimpinan ditampilkan bukan sekadar berfungsi melalui struktur perintah tetapi turut bertunjangkan autoriti moral yang mampu menyatukan seluruh warga ATM.

“Pendekatan kepimpinan melalui teladan, ketegasan terhadap salah laku serta sokongan terhadap sistem semak dan imbang dilihat sebagai asas penting dalam memulihkan kekuatan dalaman organisasi,” menurut kenyataan itu sempena Majlis Pemakaian Pangkat dan Pelantikan PAT ke-24 di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan turut dihadiri Timbalannya Adly Zahari serta Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Azhan Md Othman, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

Markas ATM memaklumkan pelantikan PAT adalah signifikan buat ATM pada ketika ini, dengan institusi pertahanan negara berhadapan cabaran besar untuk memperkukuh semula keyakinan rakyat serta memelihara kredibiliti organisasi.

“Dalam landskap keselamatan semasa yang semakin kompleks, kepimpinan tertinggi ATM bukan sahaja dituntut berwibawa dari sudut operasi, malah berperanan sebagai pemacu nilai dan prinsip profesionalisme ketenteraan,” menurut kenyataan itu.

Pada 31 Jan lepas, Mohamed Khaled dalam kenyataan mengumumkan Malek Razak yang sebelum ini merupakan Panglima Medan Barat Tentera Darat dilantik sebagai PAT yang baharu berkuat kuasa 1 Feb.

Mohamed Khaled berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan Malek Razak dinaikkan ke pangkat daripada Leftenan Jeneral ke Jeneral seterusnya dilantik sebagai PAT.

Malek Razak, 60, memulakan kerjaya sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom pada 1985 sebelum ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda pada 11 Dis 1987.

Sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, beliau memegang pelbagai jawatan penting termasuk sebagai Ketua Platun di Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan