AM > BERITA

Berita-berita Ringkas Dewan Rakyat: 4 Feb

04/02/2026 02:55 PM

BELIA LUAR BANDAR SARAWAK DIPERKASA, KEBOLEHPASARAN CECAH 95 PERATUS 

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Kerajaan memperkukuh agenda pemerkasaan belia luar bandar di Sarawak melalui latihan kemahiran, keusahawanan dan pendidikan teknikal dengan kadar kebolehpasaran mencecah 95 peratus bagi tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memberi penekanan serius terhadap pembangunan belia luar bandar selaras aspirasi dasar pembangunan luar bandar, termasuk menyediakan latihan, bimbingan perniagaan, skim pembiayaan dan akses pasaran melalui agensi di bawah kementerian berkenaan.

“Sebagai contoh, melalui pelaksanaan program seperti Start Right 2.0 bagi membantu golongan sasar melalui pendedahan awal untuk menjadi usahawan dan seterusnya memberi peluang kepada belia luar bandar berkemahiran berkecimpung dalam dunia keusahawanan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) yang bertanyakan langkah kerajaan dalam memperkasa belia di luar bandar di Sarawak termasuk di Parlimen Igan melalui program latihan kemahiran, keusahawanan dan pertanian moden bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan mereka.

-- BERNAMA

 

TEKNOLOGI PEMBINAAN MODEN DALAM PROJEK PERUMAHAN TERUS DIPERLUAS

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Kerajaan akan terus memperluaskan penggunaan teknologi pembinaan moden dalam pelaksanaan projek perumahan bagi meningkatkan produktiviti, kualiti serta kecekapan kos projek di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Timbalan Menterinya Datuk Aiman Athirah Sabu berkata antara teknologi yang akan terus diperkasa termasuk Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan Sistem Binaan Berindustri (IBS), selari dengan usaha kerajaan mempertingkatkan kecekapan perancangan, pengurusan projek, pemantauan serta kawalan kualiti dalam sektor perumahan.

“Seiring dengan kemajuan teknologi, kerajaan melalui pelbagai agensi juga akan terus meneroka penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dalam kaedah pembinaan sepertimana pembinaan pasang siap.

“… sebagai sebahagian daripada usaha kita meningkatkan kecekapan pelaksanaan projek, memastikan pematuhan kepada tempoh pelaksanaan serta mengekalkan standard kualiti pembinaan khususnya pembinaan rumah mampu milik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang bertanyakan sama ada kerajaan bercadang memperkenal atau menggunakan teknologi pemantauan berasaskan AI dalam proses perancangan, pengurusan dan pemantauan bagi setiap projek perumahan di bawah seliaan KPKT supaya ia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan