AM > BERITA

Lebih 2,000 Pelajar UniSZA Aktif Dalam Perniagaan Tahun Lepas

04/02/2026 06:49 PM

KUALA NERUS, 4 Feb (Bernama) -- Sebanyak 2,733 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dikenal pasti terlibat secara aktif dalam aktiviti perniagaan sepanjang tahun lepas.

Pengarah Pusat Kerjaya, Teknousahawan dan Jaringan Pintar (PaKaT) UniSZA Prof Madya Dr Fazida Karim berkata perkembangan ini ialah hasil daripada pelaksanaan Pelan Tindakan Keusahawanan (PTK) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti perniagaan, inovasi serta kerjasama strategik dengan pemain industri.

Beliau berkata pencapaian itu juga mencerminkan keberkesanan ekosistem keusahawanan universiti yang dibangunkan secara menyeluruh, merangkumi aspek pembangunan bakat, sokongan pembiayaan dan pendedahan kepada pasaran sebenar.

"Pelaksanaan PTK KPT secara berfokus dan berstruktur membolehkan UniSZA mencapai 100 peratus pencapaian tujuh Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan, iaitu membabitkan penglibatan pelajar dalam aktiviti perniagaan, inovasi serta kerjasama strategik dengan pihak industri.

"Pencapaian tersebut membuktikan komitmen berterusan UniSZA dalam melahirkan graduan berdaya saing dan berupaya menjana peluang pekerjaan sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Fazida berkata sepanjang tahun lepas, PaKaT juga berjaya memperoleh dana keusahawanan melebihi RM500,000 bagi menyokong pembangunan dan pengukuhan ekosistem keusahawanan pelajar serta alumni UniSZA.

Sokongan kewangan itu membolehkan UniSZA membangunkan ekosistem keusahawanan yang lebih mampan dan berimpak tinggi, selari dengan aspirasi pendidikan tinggi negara, katanya.

Antara inisiatif berimpak tinggi yang dijayakan universiti itu ialah penganjuran Program Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 3.0 yang berjaya menarik penyertaan 742 peserta dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Brunei, sekali gus memperkukuh jaringan keusahawanan serantau.

"Impak pelaksanaan PTK di UniSZA juga dibuktikan melalui data kesinambungan keusahawanan graduan yang menunjukkan 279 graduan meneruskan penglibatan dalam perniagaan selepas tamat belajar," katanya.            

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan